Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2023 di sidang Dewan Negeri Selangor pada 17 Mac 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Selangor sedia hantar lagi sukarelawan bantu pascabah Johor

SHAH ALAM, 17 MAC: Misi Kita Selangor Penyayang akan dihantar sekali lagi ke lokasi terjejas banjir di Johor bagi membantu kerja pascabah.

Bagaimanapun perkara itu bergantung kepada keperluan, kata Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

“Kita akan lihat keperluan dan akan turun segera. Sukarelawan juga baharu balik selain nak sambut Ramadan.

“Misi sebelum ini selama tiga hari dan berjaya mengeluarkan 1,084 tan sisa pepejal. Lepas ini ada siri lain jika ada keperluan,” katanya ditemui di Bangunan Annex hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media tengah hari tadi memaklumkan menghubungi Dato’ Menteri Besar bagi membantu kerja pembersihan pascabanjir di Johor.

Selangor menghantar misi bantuan fasa pertama ke lokasi banjir sekitar Segamat pada 4 Mac merangkumi bantuan makanan, kit kebersihan dan keperluan harian.

Fasa kedua berupa bantuan tenaga kerja bagi membantu mangsa membersihkan rumah melibatkan lebih 300 sukarelawan yang digerakkan dua hari kemudian selama tiga hari.


Pengarang :