Jemaah menunaikan solat Tarawih di Masjid Al-Khairiyah Gombak pada 2 April 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Selangor tetapkan tarawih 20 rakaat, digalak pakai pelitup muka

SHAH ALAM, 22 MAC: Selangor menetapkan solat tarawih dilaksanakan sebanyak 20 rakaat dengan bacaan ayat atau surah pendek selain semua jemaah digalak memakai pelitup muka.

Ketetapan khas yang dikeluarkan Jawatankuasa Agama Islam Negeri turut menekankan hanya khidmat imam lantikan Majlis Agama Islam Selangor (Mais), masjid, surau atau musolla yang dibenarkan.

Jemputan imam luar negara tidak dibenarkan sama sekali melainkan setelah mendapat kebenaran daripada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) seperti yang diumumkan sebelum ini.

Selain itu, ketetapan turut menjelaskan tazkirah hanya boleh dilaksanakan selepas solat tarawih tidak melebihi 20 minit oleh penceramah bertauliah.

Peraturan yang juga terpakai untuk solat fardu dan solat Jumaat mengingkatkan jemaah yang tidak sihat atau bergejala supaya tidak hadir ke masjid, surau atau musolla.

Semalam, pengarah Jais menegaskan larangan kepada imam luar negara untuk mengimami solat tarawih di masjid dan surau di Selangor sepanjang Ramadan bagi membuka laluan kepada agamawan tempatan.

Menurut Dato’ Mohd Shazihan Ahmad, kebanyakan imam, asatizah, graduan dan pelajar tahfiz tempatan menguasai aspek al-Quran dan ilmu Fiqh dengan baik.

Ralat: Laporan berita bertajuk “Selangor tetapkan tarawih 20 rakaat, wajib pakai pelitup muka” telah diperbaiki dan digantikan dengan maklumat tepat. Selangorkini memohon maaf kepada Jais dan pembaca yang terkesan dengan laporan sebelum ini. 


Pengarang :