Pengunjung beratur membeli makanan di bazar Ramadan berhampiran Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Shah Alam pada 21 April 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALSELANGOR

Selangor wajibkan peniaga, pengendali makanan bazar Ramadan pakai pelitup muka

PETALING JAYA, 12 MAC: Peniaga dan pengendali makanan di bazar Ramadan negeri ini diwajibkan memakai pelitup muka sebagai langkah penjagaan kebersihan.

Dato’ Menteri Besar berkata pemakaian pelitup muka mampu mengelak penularan Covid-19 termasuk penyakit berjangkit lain yang berpunca daripada bawaan udara.

“Keadaannya (operasi bazar Ramadan) sudah pasti jauh lebih baik berbanding tahun lepas, namun saya nasihatkan supaya pakai pelitup muka.

“Kita juga telah menetapkan peraturan bahawa pengendali makanan harus memakai pelitup muka kerana itu salah satu perlindungan (daripada penyakit),” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Jelajah Kita Selangor Penyayang peringkat daerah Petaling di Padang Permainan MBPJ, Desa Mentari 3 di sini hari ini.

Amirudin juga percaya tatacara operasi piawai (SOP) di bazar Ramadan seluruh negara akan dipantau Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kesihatan Negeri masing-masing.

Bermula 1 Januari lalu, Kerajaan Negeri menguatkuasakan arahan pemakaian pelitup muka dalam kalangan penyedia dan pengusaha restoran di Selangor bagi meningkatkan tahap kebersihan dalam pengendalian makanan.

Pendekatan itu juga dapat menambah keyakinan pelanggan selain mengelakkan penularan Covid-19 dan isu keracunan makanan.


Pengarang :