EXCO Pembangunan Wanita dan Keluarga Dr Siti Mariah Mahmud (enam, kiri) bergambar bersama penerima Geran Rumah Perlindungan dan Geran Kursus Intensif Pengasuhan Kanak-kanak sempena sambutan Hari Wanita Sedunia Peringkat Selangor 2023 di Hotel Sama-Sama, Sepang pada 11 Mac 2023. Foto Facebook Dr Siti Mariah
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Sembilan rumah perlindungan dapat geran RM180,000 naik taraf kemudahan

SHAH ALAM, 14 MAC: Sebanyak sembilan rumah perlindungan di Selangor menerima geran berjumlah RM180,000 daripada Kerajaan Negeri bagi menaik taraf kemudahan di premis masing-masing.

EXCO pembangunan wanita dan keluarga berkata geran itu juga bagi membina kemahiran kakitangan dan memberdaya pemandiri dalam kalangan wanita setelah keluar daripada rumah perlindungan.

“Kerajaan Negeri juga menyerahkan Geran Kursus Intensif Perkembangan Kanak-kanak kepada 10 orang pengasuh berjumlah RM2,000 seorang bagi menambah baik perkhidmatan,” kata Dr Siti Mariah Mahmud.

Beliau bercakap pada Majlis Sambutan Hari Wanita Sedunia Peringkat Selangor 2023, yang dirasmikan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga Aiman Athirah Sabu di Sepang pada 11 Mac.

Dalam majlis itu, seramai 10 tokoh wanita menerima pelbagai anugerah atas pencapaian dalam bidang masing-masing antaranya Tokoh Usahawan Wanita, Wanita Muda dan Wanita Orang Kurang Upaya.

Sementara itu, Dr Siti Mariah memaklumkan sebanyak 12 inisiatif yang sedang dan bakal dilaksana Jawatankuasa Tetap Pembangunan Wanita tahun ini dengan peruntukan lebih RM4 juta.

Beliau berkata inisiatif itu termasuk enam program yang dijalankan setiap tahun dan selebihnya program baharu seperti Gadis Influencer Selangor (Gadis) dan Sidang Wanita Selangor (Siwanis).

“(Program lain) termasuk Geran Rumah Perlindungan, Subsidi Taska dan Tadika M40, Insentif Media Digital Usahanita Muda dan Insentif Pembangunan Ekonomi Ibu Tunggal,” katanya lagi.


Pengarang :