SHAH ALAM, 3 MAC: Jelajah Ehsan Rakyat (JER) 2.0 yang menawarkan barangan asas murah akan dianjur secara mega setiap Sabtu dan Ahad sepanjang Ramadan ini.
Pegawai eksekutif kumpulan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) berkata jualan dua hari setiap minggu itu menyediakan pelbagai keperluan dapur dalam kuantiti lebih banyak.

“Bagaimanapun jumlah lokasi belum diputuskan. Kita akan meneliti semua aspek termasuk tenaga kerja bagi memastikan proses jualan lancar.
“Walaupun dianjurkan hari minggu sahaja namun PKPS jamin penduduk akan mudah mendapatkan barangan asas ini,” kata Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi kepada SelangorKini.
JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).
Turut dijual barangan kering keluaran jenama Ehsan PKPS seperti tepung gandum, gula, sos cili, sos tomato, kicap, sardin tin, biskut, beras pulut, mi kering dan cili giling.
Inisiatif tersebut memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga Disember tahun lepas.
Susulan sambutan menggalakkan, Kerajaan Negeri memperluaskan jualan barangan asas murah ke 1,200 lokasi mulai 15 Januari hingga menjelang Mei.