Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Majlis Perasmian Konvensyen Halal Antarabangsa Selangor (SELHAC) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada 10 Mac 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Sidang halal antarabangsa peluang pemain industri kongsi, teroka idea baharu

KUALA LUMPUR, 10 MAC: Persidangan Halal Antarabangsa Selangor (Selhac) 2023 yang bermula hari ini, menghimpunkan kumpulan profesional dari seluruh pelusuk industri halal negara.

EXCO industri halal berkata ia selaras dengan matlamat penganjurannya yang bertujuan mengukuhkan rangkaian industri halal di negeri ini dan negara secara amnya.

“Selhac 2023 merupakan peluang unik bagi kita berhimpun dan meraikan kekayaan dan kepelbagaian industri halal.

“Kita berada di sini untuk berkongsi idea dan ilmu sekaligus meneroka peluang baharu dalam pembangunan industri ini,” kata Mohd Zawawi Ahmad Mughni ketika berucap di Selhac 2023 yang berlangsung di Pusat Perdagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.

Persidangan antarabangsa edisi kedua bertemakan ‘Selangor, Gerbang Halal Antarabangsa’ itu dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Zawawi menambah, industri halal kini menyaksikan pertumbuhan luar biasa, didorong peningkatan permintaan daripada pengguna Islam di seluruh dunia.

Menurutnya produk dan perkhidmatan halal turut dicari oleh pengguna berbeza agama yang mengutamakan produk berkualiti tinggi serta mampan.

Selhac 2023 yang berlangsung selama tiga hari sehingga Ahad dari 9 pagi hingga 5 petang menghimpunkan kira-kira 200 pempamer dari dalam dan luar negara.


Pengarang :