Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari merasmikan Konvensyen Halal Antarabangsa Selangor (SELHAC) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 10 Mac 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sidang halal negeri 2.0 buka tirai, tarik pempamer luar negara

KUALA LUMPUR, 10 MAC: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari merasmikan Persidangan Halal Antarabangsa Selangor (Selhac) 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Program edisi kedua bertemakan ‘Selangor, Gerbang Halal Antarabangsa’ turut dihadiri EXCO Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni, Setiusaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim dan Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Norita Mohd Sidek.

Dalam majlis berkenaan, Amirudin menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian persefahaman (MoU) peluang niaga antara Bank Islam dengan anak syarikat MBI Halal International Selangor (HIS).

Beliau turut melawat reruai yang menghimpun kira-kira 200 pempamer dari dalam dan luar negara antaranya Bangladesh, Australia, United Kingdom, Thailand, Vietnam dan Kanada.

Pempamer terlibat seperti MBI, Bank Islam, Maybank Islamic Berhad, Majlis Agama Islam Selangor, Farm Fresh Malaysia, Yayasan Hijrah Selangor dan Sate Kajang Hj Samuri.

Penganjuran selama tiga hari sehingga Ahad dari 9 pagi hingga 5 petang menyasarkan nilai padanan perniagaan sebanyak RM50 juta selain kehadiran lebih 8,000 pengunjung.

Enam komponen bakal diketengahkan sepanjang persidangan merangkumi forum perniagaan, kewangan Islam, pameran, padanan perniagaan, rantaian bekalan halal dan pemasaran digital.

Selhac pertama kali dianjurkan Mac tahun lalu di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) dengan penyertaan lebih 200 pempamer dan merekodkan transaksi sebanyak RM37.73 juta.


Pengarang :