Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Majlis Perasmian Konvensyen Halal Antarabangsa Selangor (Selhac) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada 10 Mac 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Sidang himpun nama besar, jadi tapak kukuhkan industri halal negara

KUALA LUMPUR, 10 MAC: Persidangan Halal Antarabangsa Selangor (Selhac) 2023 edisi kedua yang berlangsung hari ini hingga Ahad bakal mengukuhkan industri halal negara.

Dato’ Menteri Besar berkata acara kali ini merangkumi pelbagai aktiviti selain penyertaan lebih 200 pempamer yang juga nama besar dalam industri dari dalam dan luar negara.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan komponen utama meliputi forum perniagaan, kewangan Islam, pameran, padanan perniagaan, rantaian bekalan halal dan pemasaran digital.

“Kali ini kita adakan lebih luas dan banyak aktiviti. Kita perlu kreatif, disiplin dan fokus untuk kembangkannya. Kita yakin pameran ini menjadi platform untuk terus belajar dan tingkatkan rangkaian kerjasama,” katanya selepas merasmikan Selhac di sini hari ini.

Amirudin juga yakin program tersebut dapat berkembang seperti Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) dan Pameran Udara Selangor (SAS) yang diadakan setiap tahun.

“Lebih 200 pempamer menyertai program ini. Berdasarkan maklum balas, kita percaya ia akan terus berkembang dan mengujakan kita untuk bawa industri halal bertapak kukuh di Selangor,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melawat reruai pameran selepas merasmikan Persidangan Halal Antarabangsa Selangor (Selhac) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada 10 Mac 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Selain disertai agensi negeri antaranya Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dan Jabatan Agama Islam Selangor, persidangan juga menarik minat Bank Islam, Bank Muamalat, Penang Halal International dan Melaka Halal Hub.

Nama-nama besar yang turut serta antaranya Farm Fresh Malaysia, Sate Kajang Hj Samuri, Nims Crispy Chocotub, Restoran Hameediyah dan Yayasan Hijrah Selangor.

Berlangsung dari 9 pagi hingga 5 petang, program menyasarkan nilai padanan perniagaan sebanyak RM50 juta selain kehadiran lebih 8,000 pengunjung.

Selhac pertama kali dianjurkan Mac tahun lalu di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) dengan penyertaan lebih 200 pempamer dan merekodkan transaksi sebanyak RM37.73 juta.


Pengarang :