EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim (tengah) bercakap ketika sidang media Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023 di Hotel Sheraton, Petaling Jaya pada 27 Mac 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sidang kemuncak niaga sasar potensi jualan RM1.5 bilion, 50,000 pengunjung

PETALING JAYA, 27 MAC: Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023 yang bakal berlangsung pada 19 hingga 22 Oktober depan menyasar potensi jualan RM1.5 bilion.

EXCO pelaburan berkata unjuran rundingan berdasarkan enam acara utama yang bakal diketengahkan sepanjang empat hari persidangan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur.

“Berdasarkan rekod penganjuran SIBS tahun terdahulu, penyumbang utama (potensi jualan) datang daripada acara Ekspo Antarabangsa Selangor (Makanan dan Minuman), Ekspo Taman Perindustrian Selangor dan Ekspo Antarabangsa Selangor (Perubatan).

“Ekspo Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor turut menjadi penyumbang terbesar rundingan jualan, maka tahun ini kita menjangkakan perkara sama,” kata Dato’ Teng Chang Khim.

Beliau bercakap sempena pelancaran SIBS 2023 dan iftar bersama media di Hotel Sheraton di sini hari ini. Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad Dato’ Hasan Azhari Idris.

Tahun lalu, SIBS berjaya mencatat potensi rundingan jualan bernilai RM1.45 bilion iaitu jumlah tertinggi sepanjang sejarah penganjurannya.

Dalam pada itu, Chang Khim menjangkakan sekurang-kurangnya 50,000 pelawat perdagangan menyertai sidang kemuncak perniagaan terbesar di Asia, mengatasi 40,342 yang direkodkan tahun lepas.

“Kali ini kita anggarkan pertambahan 10 peratus (pelawat perdagangan) dan saya rasa ia (sasaran) munasabah. Tahun lepas 60 negara terlibat dan tahun ini 70,” katanya.

Bertemakan Selangor Pintu Gerbang Asia, SIBS 2023 menyediakan 1,050 reruai di lapan dewan ekspo dan dua dewan persidangan.

SIBS yang dianjur sejak 2015 disertai 400 pempamer diikuti 525 pada 2016, 691 (2017), 548 (2018) dan 787 (2019).

Pada 2020, acara itu dibuat secara dalam talian susulan Covid-19 membabitkan 286 pempamer dan dilakukan secara hibrid pada 2021 meliputi 494 pempamer secara fizikal dan 623 (dalam talian) manakala 906 pempamer tahun lalu.


Pengarang :