Kakitangan Etomal menunjukkan produk makanan kucing menggunakan larva lalat askar hitam sempena Sidang Kemuncak Peniagaan Antarabangsa Selangor di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 7 Oktober 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Sidang niaga disusun lebih menarik, sasar banyak penyertaan negara luar

SHAH ALAM, 16 MAC: Penganjuran Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) tahun ini disusun semula dan ditambah baik supaya lebih relevan seiring perkembangan semasa.

EXCO pelaburan menjelaskan acara tahunan itu menyasar lebih banyak penyertaan negara luar, selain menjemput penceramah ekonomi terkenal dunia dan tetamu kehormat dari rantau Asia Tenggara.

Dato’ Teng Chang Khim berkata tumpuan juga diberikan kepada pempaper terutama Ekspo Antarabangsa Selangor (makanan dan minuman) yang bersedia untuk bersaing dalam pasaran luar.

“Usaha promosi dan penjenamaan SIBS 2023 di dalam dan luar negara ditingkatkan menerusi lawatan, penerbitan dan iklan agar mendapat sambutan, penyertaan dan kejayaan lebih besar,” katanya hari ini.

Menjawab soalan wakil rakyat Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin pada sidang Dewan Negeri Selangor, beliau berkata SIBS akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 19 hingga 22 Oktober.

Sidang bagi pemain industri mengembangkan perusahaan dan memperkenal Selangor sebagai gerbang pelaburan antarabangsa merekodkan nilai transaksi perolehan RM1.45 billion tahun lalu.


Pengarang :