AGENDAJENAYAH

Sindiket pecah kondominium di tiga negeri termasuk Selangor tumpas

MELAKA, 24 MAC: Sindiket pecah rumah yang menyasarkan kondominium dan pangsapuri di Melaka, Selangor dan Kuala Lumpur berjaya ditumpaskan dengan penahanan tiga lelaki dan seorang wanita secara berasingan di luar Melaka pada 14 dan 22 Mac lepas.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata dua lelaki daripada kesemua suspek berusia 34 hingga 51 tahun itu ditahan di Kuala Lumpur pada 14 Mac manakala masing-masing seorang suspek wanita dan lelaki ditahan di Selangor pada 22 Mac.

Beliau berkata penahanan kesemua suspek berkenaan susulan jenayah pecah rumah yang dilakukan sindiket itu di sebuah kondominium Klebang di sini pada 2 Mac lepas, membabitkan kerugian wang tunai dan barang kemas yang dianggarkan berjumlah RM50,000.

“Susulan kejadian pecah kondominium itu, anggota dan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka telah menjalankan siasatan dan risikan sehingga berjaya menjejaki penjenayah terlibat.

“Hasil tangkapan, polis berjaya merampas pelbagai barangan berjenama mewah antaranya jam tangan, beg tangan, beg duit, telefon bimbit, dua kenderaan, peralatan pecah rumah serta pakaian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati sindiket berkenaan dipercayai terlibat dalam lapan kes jenayah pecah rumah di Melaka, Kuala Lumpur dan Selangor.

Katanya kesemua suspek berkenaan ditahan reman sehingga 27 dan 29 Mac ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun, denda dan sebat, jika sabit kesalahan.

-BERNAMA


Pengarang :