Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP) daerah Hulu Langat di Taman Impian Ehsan, Hulu Langat pada 4 Mac 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Skim insurans percuma ditambah baik, perkenal patuh syariah Ramadan ini

HULU LANGAT, 4 MAC: Skim Insurans Am Selangor (INSAN) yang dilancar bagi melindungi penduduk bakal dilengkapi dengan sistem takaful Islam dalam masa terdekat.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sistem patuh syariah itu dibuka kepada umat Islam dan pihaknya bakal menambah dana RM1 untuk setiap individu yang menggunakan kaedah berkenaan.

“Ada beberapa pandangan tentang INSAN antaranya kaedah konvensional. Jangan bimbang insya-Allah tak lama lagi, di pertengahan Ramadan kita gunakan sistem takaful Islam.

“Kita adakan pembiayaan syariah untuk umat Islam dan mereka yang berminat selain ada juga kaedah konvensional. Kita adakan sistem takaful Islam yang dijamin seperti nasihat mufti dan jabatan agama.

“Cadangan sedang diteliti dan Dato’ Teng Chang Khim ( EXCO Pelaburan) akan bawa ke mesyuarat EXCO dalam masa terdekat,” katanya berucap di Jelajah Kita Selangor Penyayang Hulu Langat hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap di Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP) Hulu Langat di Padang KRT, Taman Impian Ehsan, Hulu Langat pada 4 Mac 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Amirudin berkata tindakan itu membuktikan semua skim ditawar Kerajaan Negeri kepada rakyat sentiasa dibaiki mengikut keperluan semasa.

“Ini maknanya apa kita buat jika ada kekurangan kita baiki. Semangat perubahan untuk kebaikan. Menjana kesaksamaan dan keadilan untuk rakyat,” katanya.

INSAN adalah polisi insurans kemalangan diri berkumpulan untuk penduduk berusia antara 30 hari sehingga 80 tahun yang premiumnya ditanggung sepenuhnya Kerajaan Negeri.

Skim dengan nilai perlindungan RM60 bilion itu memberi perlindungan insurans sehingga RM10,000 bagi kes hilang keupayaan kekal dan kematian disebabkan kemalangan.

Pendaftaran melalui aplikasi Wavpay yang boleh dimuat turun di AppStore, Google Play atau Huawei App Gallery. Maklumat lanjut, layari programinsan.com


Pengarang :