Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek ketika menggulung usul menjunjung kasih dan perbahasan Titah Diraja di Parlimen pada 23 Februari 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

STPM diiktiraf antarabangsa, tiada keperluan mansuh tingkatan enam

KUALA LUMPUR, 27 MAC: Tiada keperluan untuk memansuhkan pendidikan Tingkatan Enam dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Beliau berkata Tingkatan Enam, mencakupi peperiksaan STPM yang ditawarkan Kementerian Pendidikan (KPM) adalah selaras dengan Akta Pendidikan 1996 dan diberi jaminan bahawa ia mesti wujud serta diteruskan.

“Kewujudannya bertujuan pastikan murid peringkat menengah atas mendapat kualiti pendidikan setanding piawaian antarabangsa…STPM itu sendiri diiktiraf Cambridge Assessment International Education.

“Seluruh Universiti Awam di negara kita iktiraf kelulusan ini malah lebih 2,000 universiti seluruh dunia iktiraf sijil STPM, jadi lulusan Tingkatan Enam ini boleh lanjut pelajaran ke mana-mana sahaja dalam negara, luar negara, Amerika Syarikat, semua negara Komanwel juga Timur Tengah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi menggulung perbahasan Usul Menjujung Kasih Titah Diraja di Dewan Negara hari ini.

Terdahulu, pada sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja, Senator Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai mencadangkan supaya kerajaan memansuhkan STPM dan menggantikannya dengan program Matrikulasi.

Tambah Fadhlina pendidikan Tingkatan Enam mempunyai sasaran dan matlamat tersendiri berbanding program Matrikulasi dan Ijazah Sarjana Muda Perguruan Malaysia.

“Tingkatan Enam ini bertujuan memberi akses seluas-seluasnya pada lepasan menengah, pada murid, menerusi 643 pusat Tingkatan Enam pelbagai mod pembelajaran di seluruh negara.

“Malah KPM juga akan luaskan Kolej Tingkatan Enam yang dirancang di Pahang iaitu di Kolej Astana, Kuantan dan satu lagi di Sri Lipis, di samping pembinaan Kolej Tingkatan Enam di Kelantan yang telah lulus peruntukan pembinaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12,” katanya.

— BERNAMA


Pengarang :