Orang ramai melihat reka bentuk Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) dalam pameran awam di pusat beli-belah SACC, Shah Alam pada 28 Januari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sultan: Kompleks sukan mercu tanda, era baru kegemilangan bola sepak

SHAH ALAM, 13 MAC: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor berharap Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) yang akan dibina menjadi mercu tanda negeri ini.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yakin pembangunan KSSA menjadi pemangkin kepada era baru kegemilangan pasukan bola sepak Red Giants.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan merasmikan persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor (DNS) Keempat Belas Tahun 2023 di Bangunan Annex pada 13 Mac 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Beta difahamkan kawasan pembangunan KSSA ini masih lagi kekal sebagai pusat fasiliti sukan dan rekreasi awam.

“Beta berharap proses pembinaan KSSA ini dapat dilaksanakan dengan segera secara teratur dan telus, menepati masa, kos serta kualiti yang ditetapkan agar dapat memberi manfaat sewajarnya kepada rakyat.

“Beta yakin KSSA ini dapat menjadi pemangkin kepada era baru kegemilangan pasukan bola sepak Merah Kuning dan menjadi mercu tanda kebanggaan rakyat Selangor,” titah Baginda smpena istiadat pembukaan Dewan Negeri Selangor ke-14 hari ini.

Pada 5 Januari, Dato’ Menteri Besar berkata pembangunan semula KSSA termasuk stadium negeri melalui Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI bermula pada suku pertama tahun ini.

Maklum Dato’ Seri Amirudin Shari, projek KSSA dilaksana secara perkongsian awam-swasta dengan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) yang menanggung kos pembangunan tanpa menggunakan dana awam.

Beliau turut menjelaskan sejumlah RM787 juta kos digunakan untuk membaik pulih bangunan dan kemudahan lain di stadium terbabit antaranya meninggikan platform stadium 1.5 meter bagi mengelak bah berulang selain menukar sistem pendawaian elektrik.


Pengarang :