Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan merasmikan persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor (DNS) Ke-14 di Bangunan Annex pada 13 Mac 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Sultan: Patuhi peraturan dalam PRN, rakyat nilai tingkah laku ahli politik

SHAH ALAM, 13 MAC: Semua pihak terlibat pilihan raya negeri (PRN) diminta mematuhi peraturan sedia ada dan saling menghormati antara satu sama lain, titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah segala tingkah laku ahli politik akan disaksikan dan dinilai rakyat sebelum mereka membuat pilihan.

Baginda turut mengingatkan Majlis Agama Islam Selangor supaya berterusan mengeluarkan arahan supaya masjid dan surau tidak dijadikan pentas ceramah dan kempen PRN.

Dalam titah sempena istiadat pembukaan Dewan Negeri Selangor ke-14 hari ini, Sultan Sharafuddin turut berharap semua Ahli Dewan Negeri dapat membahaskan segala isu secara berhemah, bijaksana dan menyelesaikan masalah dengan berkesan.

“Beta berdoa semoga Selangor dan seluruh rakyat Beta sentiasa dalam lindungan dan rahmat Allah,” titah baginda.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan pihaknya telah mencapai persetujuan bersama lima negeri untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing pada tempoh dua minggu terakhir Jun bagi memberi laluan kepada PRN.

Beliau berkata kesepakatan itu dicapai dalam satu pertemuan antara enam menteri besar serta ketua menteri di ibu negara baru-baru ini.

Tiga negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan kini bawah pentadbiran Pakatan Harapan (HARAPAN), sementara Terengganu, Kedah dan Kelantan bawah teraju Perikatan Nasional.

PRN itu perlu diadakan memandangkan tempoh mandat DUN di enam negeri berkenaan akan berakhir pertengahan tahun ini.


Pengarang :