Formasi Batu Kapur Kuala Lumpur Anak Takun merupakan salah satu geotapak bagi Geotaman Gombak-Hulu Langat (GHL) dikenali sebagai Bukit Anak Takun yang terletak di Templer Park, Rawang dan mempunyai nilai warisan saintifik, rekreasi, estetik dan budaya. Foto Facebook Gombak-Hulu Langat Geopark
AGENDANASIONAL

Sultan: Pengiktirafan Geotaman Gombak Hulu Langat pemangkin negeri pelihara alam sekitar

SHAH ALAM, 13 MAC: Pengiktirafan Geotaman Gombak Hulu Langat (GHL) sebagai geotaman kebangsaan bakal memperkukuhkan usaha negeri memelihara alam sekitar.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor bertitah pengiktirafan ketujuh di Malaysia itu menjamin kesejahteraan rakyat, matlamat pembangunan lestari selain memelihara warisan geologi, budaya dan biologi.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan merasmikan persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor (DNS) Ke-14 di Bangunan Annex pada 13 Mac 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Beta ingin menzahirkan ucapan tahniah kepada Kerajaan Beta di atas pengiktirafan (GHL)sebagai penerima geotaman kebangsaan. Projek ini melibatkan 20 geo-tapak di Gombak dan Hulu Langat merangkumi 112,955 kilometer persegi.

“Kawasan ini mempunyai kepentingan geologi selain terdapatnya kuarza terpanjang di Asia Tenggara, landskap pergunungan serta pembentukan beberapa lembangan daratan,” titah Baginda sempena istiadat pembukaan Dewan Negeri Selangor ke-14 hari ini.

Sultan Sharafuddin berkenan Selangor terus menjadi negeri lestari dan hijau, selari dengan pelbagai teknologi pembangunan yang menyokong penjagaan alam sekitar.

Air Terjun Sungai Gabai adalah salah satu geotapak bagi Geotaman Gombak-Hulu Langat yang terletak di dalam kawasan Hutan Simpan Sungai Lalang dan mempunyai nilai warisan saintifik, rekreasi dan estetik. Foto Facebook Gombak-Hulu Langat Geopark

Titah Baginda pemerkasaan undang-undang alam sekitar dan aktiviti penguatkuasaan juga perlu terus dilaksana berikutan kemerosotan alam sekitar akan memberi impak kepada kesejahteraan rakyat.

“Beta ingin yakinkan penguatkuasa supaya tidak gentar dan tunduk kepada sebarang ancaman ketika mengambil tindakan kepada pesalah undang-undang,” titah baginda.

Baginda tuanku turut perkenaan pelaksanaan program menanam 26 juta pokok di negeri ini mulai tahun lalu hingga 2026 yang dilancarkan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah di Hutan Simpan Broga pada 24 September 2022.


Pengarang :