Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menandatangani plak perasmian Masjid Al-Istiqamah Kayangan Heights, Shah Alam pada 30 Mac 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Sultan rasmi Masjid Al-Istiqamah Kayangan Height, berbuka puasa bersama rakyat

SHAH ALAM, 30 MAC: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor berkenan berangkat ke majlis berbuka puasa bersama rakyat di Masjid Al-Istiqamah Kayangan Height, Seksyen U9 di sini hari ini.

Keberangkatan tiba Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj kira-kira jam 6.30 petang diiringi DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Baginda turut berkenan merasmikan masjid yang siap sepenuhnya 31 Oktober 2005 sebelum dinaik taraf pada 2018 untuk memuatkan 1,000 jemaah pada satu-satu masa.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menyampaikan titah ucapan perasmian masjid ketika majlis perasmian masjid dan majlis berbuka puasa bersama rakyat di Masjid Al-Istiqamah Kayangan Heights, Shah Alam pada 30 Mac 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Dalam majlis sama, Baginda menyampaikan sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada 470 asnaf sekitar Petaling melibatkan peruntukan RM235,000.

Penerima terdiri daripada 116 orang fakir, 263 (miskin) dan 91 (mualaf) dengan masing-masing menerima sebanyak RM 500.

Sultan Sharafuddin juga berkenan menunaikan solat sunat tarawih bersama asnaf dan rakyat Petaling di masjid berkenaan.

Majlis itu turut dihadiri Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, Mufti Selangor Dato’ Setia Prof Madya Dr Anhar Opir dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada asnaf ketika majlis perasmian masjid dan majlis berbuka puasa bersama rakyat di Masjid Al-Istiqamah Kayangan Heights, Shah Alam pada 30 Mac 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengarang :