DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menerima menghadap Pengarah JPNS baharu Azhar Ahmad dan mantan Pengarah JPNS di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam pada 16 Mac 2023. Turut berangkat DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah. Foto Facebook Selangor Royal Office
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sultan Selangor berkenan tukar nama Hutan Simpan Taman Warisan Negeri Selangor

SHAH ALAM, 18 MAC: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor berkenan Hutan Simpan Taman Warisan Negeri Selangor dinamakan semula sebagai Hutan Warisan Diraja Negeri Selangor.

Pejabat Diraja Selangor memaklumkan penukaran nama itu yang akan dilancar secara rasmi pada Ogos nanti diperkenan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Baginda bertitah supaya kawasan hutan simpan kekal seluas 108,000 hektar di negeri itu terus dipelihara selain mencadangkan Kerajaan Negeri melanjutkan tempoh dasar pembalakan ‘monitoring’ yang kini ditetapkan selama 25 tahun.

“Langkah itu untuk tidak membenarkan sebarang aktiviti pembalakan di dalam hutan simpan kekal sejak 2009.

“Ini termasuk penguatkuasaan yang lebih berkesan bagi mengelak pencerobohan hutan daripada berlaku,” menurut kenyataan Pejabat Diraja Selangor di Facebook.

Kelmarin, Baginda berkenan menerima menghadap Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) baharu Azhar Ahmad di Istana Bukit Kayangan di sini.

Turut berangkat, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah. Hadir sama mantan Pengarah JPNS Datuk Ahmad Fadzil Abdul Majid.

DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menerima menghadap Pengarah JPNS baharu Azhar Ahmad dan mantan Pengarah JPNS di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam pada 16 Mac 2023. Turut berangkat DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah. Foto Facebook Selangor Royal Office

Pada pertemuan itu, Sultan Sharafuddin disembah maklum perkembangan terkini usaha pembangunan dan penggazetan kawasan rizab hutan simpan berkenaan menerusi Pelan Induk 2023-2032.

Baginda percaya usaha JPNS untuk mengekalkan kehijauan di hutan simpan kekal akan dapat dirasai rakyat menerusi perancangan menyediakan laluan pendakian terkawal di beberapa lokasi berkenaan.

Sultan Selangor turut menitahkan Tengku Amir Shah yang memiliki ijazah dalam Ekologi dan Biologi Alam Sekitar, untuk memantau rapat usaha mengekalkan persekitaran hijau di Selangor dengan sasaran penanaman tidak kurang 11 juta pokok menjelang 2026.

Pelan Induk Pembangunan Taman Warisan Negeri Selangor 2023-2032. Foto Facebook Selangor Royal Office

“Baginda turut berpandangan bahawa kerjasama antara JPNS dan Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam usaha konservasi serta kajian berterusan akan membolehkan kawasan hutan simpan kekal itu dimanfaatkan ke arah memelihara warisan geologi, budaya dan biologi sebagai Geopark Kebangsaan yang ketujuh di Malaysia,” kata kenyataan itu.


Pengarang :