Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan mencuba sendiri kemahiran memateri, mengetuk dan mengukir mangkuk piuter di ruang School of Hard Knocks dalam lawatan Baginda berdua ke Royal Selangor baru-baru ini. Foto Facebook Selangor Royal Office
AGENDANASIONAL

Sultan Selangor, Tengku Permaisuri berkenan melawat Royal Selangor

SHAH ALAM, 4 MAC: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan melakukan lawatan ke galeri dan kilang pengeluaran produk piuter tersohor, Royal Selangor di Setapak, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Baginda diiringi Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin, yang kali pertama berangkat ke Royal Selangor.

Baginda berdua dibawa melawat ke ruang muzium dan kilang piuter di Royal Selangor Visitor Centre oleh Pengerusi Royal Selangor, Tan Sri Yong Poh Kon.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan melawat Royal Selangor baru-baru ini. Foto Facebook Selangor Royal Office

“Baginda berdua turut berkenan mencuba sendiri kemahiran memateri, mengetuk dan mengukir mangkuk piuter di ruang School of Hard Knocks,” kata kenyataan menerusi Facebook Selangor Royal Office.

Sebelum ini Royal Selangor dikenali Selangor Pewter, sebuah kedai kraf kecil yang ditubuhkan pada 1885.

Pada 1992, di atas perkenan Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, namanya diubah kepada Royal Selangor.

Royal Selangor memasuki pasaran eksport pada 1970-an dengan menembusi pasaran luar seperti Singapura, Hong Kong dan Australia, sebelum dikembangkan sehingga ke Eropah dan Jepun.

Kenyataan itu berkata ia menawarkan lebih seribu jenis barangan pinggan mangkuk dan cenderamata beraneka termasuk kole tradisional, set teh, bingkai gambar dan aksesori meja.

Royal Selangor juga terdapat dalam kedai serbaneka Harrods dan John Lewis di United Kingdom serta Wako dan Mitsukoshi di Jepun.

Antara faktor kejayaan Royal Selangor dalam pasaran cenderamata dan pinggan mangkuk ialah komitmennya terhadap reka bentuk inovatif dan pertukangan yang cemerlang.


Pengarang :