Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menerima pembayaran zakat perniagaan ketika majlis perasmian masjid dan majlis berbuka puasa di Masjid Al-Istiqamah Kayangan Heights, Shah Alam pada 30 Mac 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sultan Sharafuddin berkenan terima zakat perniagaan lebih RM7 juta

SHAH ALAM, 30 MAC: Duli Yang Maha Mulia (DY) Sultan Selangor hari ini berkenan menerima zakat perniagaan daripada empat syarikat korporat berjumlah RM7,077,692.24.

Serahan zakat kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dibuat sempena majlis berbuka puasa bersama rakyat di Masjid  Al-Istiqamah, Kayangan Heights di sini.

Central Sugar Refinery Sdn Bhd yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohamad Zuki Wan Abdullah mendahului senarai syarikat menyerahkan zakat berjumlah RM3 juta.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan berangkat ke majlis perasmian masjid dan majlis berbuka puasa di Masjid Al-Istiqamah Kayangan Heights, Shah Alam pada 30 Mac 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pintas Utama Sdn Bhd diwakili Pengerusi Eksekutifnya Tan Sri Ir Zainudin Karjan menunaikan zakat RM1.5 juta, manakala Bank Islam Malaysia Berhad berjumlah RM1.49 juta yang diserahkan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mohd Muazzam Mohamed.

Sementara itu, Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) menunaikan zakat perniagaan RM1,087,692.24 yang diserahkan Ketua Pegawai Eksekutifnya Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim.

Keberangkatan Sultan Sharafuddin turut diiringi Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Hadir sama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari; Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Mohd Yusof dan Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Setia Dr Anhar Opir.

Majlis turut dihadiri Pengerusi Lembaga Zakat Selangor (LZS) Tan Sri Dato’ Setia Ambrin Buang dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbin.


Pengarang :