Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah sempena istiadat pengurniaan watikah pelantikan nazir dan imam masjid Selangor di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang pada 2 Mac 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sultan titah masjid bebas politik, elak umat Islam bersengketa

KLANG, 2 MAC: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor bertitah masjid perlu bebas pengaruh dan elemen politik bagi mengelak jurang pemisah yang berpunca daripada perbezaan fahaman.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah Baginda tidak setuju pusat ibadah dijadikan medan dan propaganda kepartian kerana merosakkan ikatan persaudaraan antara umat Islam.

“Kuliah-kuliah agama di masjid tidak sepatutnya dijadikan sebagai platform menghina, mengumpat, menfitnah dan mencaci mana-mana pihak.

“Jika perkara ini berlaku ia akan menyebabkan persengketaan berpanjangan dan merosakkan ikatan persaudaraan sesama umat Islam,” titah Baginda pada istiadat pengurniaan watikah kepada 1,256 nazir dan imam negeri ini hari ini.

Justeru Sultan Sharafuddin menitahkan pengerusi Majlis Agama Islam Selangor dan Jabatan Agama Islam Selangor supaya tidak membenarkan pimpinan politik menjadikan masjid dan surau sebagai pentas ceramah kepartian.

“Beta selaku ketua agama Islam negeri ini mengambil berat tentang pentingnya perpaduan dan persaudaraan umat Islam di Selangor.

“Sehubungan itu Beta berkenan masjid dijadikan asas dan medium utama masyarakat Islam untuk bersepakat tanpa mengira perbezaan pangkat, kedudukan, pandangan dan fahaman politik masing-masing,” titah baginda.

Baginda turut mengingatkan nazir dan pengurusan masjid supaya membuat sebarang keputusan mengikut undang-undang, peraturan dan titah Baginda.

“Kegagalan mematuhi peraturan dan titah Beta membolehkan penguatkuasaan undang-undang dikenakan terhadap mereka yang bertanggungjawab.

“Pegawai masjid khususnya nazir dan imam harus terus memelihara kemuliaan institusi masjid daripada dicemari elemen yang merosakkan akidah, perpaduan dan kesatuan ummah,” titah Baginda.


Pengarang :