Gambar yang dirakam sekitar 1970-an menunjukkan DYMM Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah bersama Menteri Besar Selangor Dato’ Harun Idris dan Dato’ Mohd Tahir Abdul Rahim (tengah) ketika melakukan lawatan tapak untuk melihat perkembangan pembinaan Shah Alam. Gambar kredit FB Sahabat Shah Alam
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sultan zahir takziah buat waris mantan pengurus besar pertama PKNS

OLEH AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 1 MAC: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Selangor menzahirkan takziah buat waris Allahyarham Dato’ Mohd Tahir Abdul Rahim, yang meninggal dunia pada 27 Februari lalu.

Menurut Selangor Royal Office di Facebook hari ini, Allahyarham Mohd Tahir, 91, merupakan mantan pengurus besar pertama Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Norashikin menyifatkan Allahyarham antara individu penting dalam merealisasikan pembangunan Shah Alam sebagai ibu negeri lewat 1960-an.

“Baginda mengenali Allahyarham sebagai seorang yang sangat berdedikasi dalam bidang pentadbiran dan juga aktif dalam sukan,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, Allahyarham Mohd Tahir dikurniakan Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S) pada 1975 oleh Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

“Baginda berdua mendoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para solihin,’’ katanya.

 


Pengarang :