Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan cek cura RM10,000 kepada Azrul Affendi Hadi (tiga, kanan) dan Haizil Azri (tiga, kiri) sempena Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP) daerah Kuala Langat di Banting Waterfront, Kuala Langat pada 5 Mac 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Sumbangan cetus semangat pelumba Cub Prix Orang Asli untuk lakar kejayaan

KUALA LANGAT, 5 MAC: Pelumba Cub Prix Azrul Affendi Hadi, 27, menerima sumbangan RM10,000 daripada Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI hari ini.

Pemuda Orang Asli pertama yang menyertai dan melibatkan diri dalam sukan permotoran itu berkata permohonan untuk mendapatkan sumbangan itu dibuat Februari lalu dan dia bersyukur ia diluluskan.

“Ketika pertemuan Dato’ Menteri Besar dengan pemimpin Orang Asli Selangor, bapa saya yang juga Tok Batin Kampung Orang Asli Bukit Tadom menghantar surat kepada pejabat menteri besar. Mungkin selepas itu permohonan saya diteliti dan akhirnya diluluskan,” katanya.

Azrul Affendi Hadi. Foto Suhaila Shahrul Annuar/SELANGORKINI

Majlis penyerahan sumbangan sukan permotoran Malaysian Cub Prix 2023 daripada MBI itu disempurnakan Dato’ Seri Amirudin Shari pada program Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP) Kuala Langat di Banting Waterfront hari ini.

Azrul Affendi Hadi berkata sumbangan itu akan dimanfaatkan untuk pembelian kelengkapan keselamatan perlumbaan seperti sut lumba, sarung tangan, kasut dan lain-lain.

“Sumbangan ini membantu untuk pembelian keperluan keselamatan itu.

“Sukan permotoran ini memerlukan kos tinggi jadi tajaan seperti ini amat saya hargai,” katanya sambil menambah tajaan itu menaikkan semangatnya untuk beraksi cemerlang dalam sukan permotoran.

Azrul Affendi yang terlibat dalam sukan itu sejak 2012 antara nama dikenali dalam arena Cub Prix selaku pelumba PETRONAS Sprinta Pro-Am Cup.

Dia juga anak Orang Asli pertama yang menyertai perlumbaan Asia Road Racing Championship 2019, yang turut disertai peserta dari Jepun dan Australia.


Pengarang :