Foto hiasan ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Sumbangan Tunai Rahmah fasa dua diagih 5 April, lebih 570,000 baru mohon

SHAH ALAM, 28 MAC: Sumbangan Tunai Rahmah (STR) fasa kedua mula dikreditkan kepada akaun penerima pada 5 April, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata seramai sembilan juta individu disasar menerima manfaat bantuan berkenaan dengan peruntukan RM8 bilion.

“Fasa satu STR dilaksanakan pada 17 Januari membabitkan 8.7 juta penerima melibatkan pembayaran berjumlah RM1.67 bilion.

“Fasa kedua pula akan dilaksanakan pada 5 April, manakala fasa ketiga akan dilakukan pada Ogos atau selewat-lewatnya Oktober,” katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan ahli Parlimen Bagan Serai Datuk Idris Ahmad berkenaan sasaran kerajaan bagi setiap tiga bulan dalam proses menoktahkan kemiskinan tegar tahun ini.

Anwar turut memaklumkan sebanyak 574,886 permohonan baharu diterima setakat hari ini.

Ketika membentang Belanjawan 2023, Anwar memaklumkan program STR dikemaskini dengan setiap isi rumah berpendapatan bawah RM2,500 layak menerima sumbangan tunai.

Kerajaan juga memberi sumbangan tambahan RM600 kepada isi rumah penerima STR termiskin mengikut data e-Kasih yang disalurkan dalam bentuk bakul makanan dan baucar barangan asas.

 


Pengarang :