Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Anggerik Mohd Najwan Halimi ketika sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), Shah Alam pada 16 Mac 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Syarikat berkaitan Kerajaan Negeri diseru sokong pesta buku Selangor

SHAH ALAM, 16 MAC: Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri diseru menyokong Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dalam penganjuran Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) akan datang.

Wakil rakyat Kota Anggerik berkata usaha itu boleh dilaksanakan menerusi tajaan sama ada dalam bentuk sumbangan kewangan atau pun pembelian baucar buku.

Menurut Najwan Halimi, penganjuran sulung SIBF tahun lalu telah melonjakkan pertumbuhan industri buku yang kini berdepan cabaran pendigitalan.

“Sebagai sebuah Kerajaan Negeri yang mendukung usaha membudayakan ilmu dan pemantapan modal insan, saya menyeru syarikat-syarikat berkaitan Kerajaan Negeri agar turut serta menyokong usaha PPAS.

“Ia boleh dibuat menerusi tajaan sama ada dalam bentuk sumbangan kewangan atau pun menerusi pembelian baucar-baucar buku untuk disumbangkan kepada pegawai dan kakitangan yang membolehkan mereka gunakan untuk membeli buku buat anggota keluarga mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika usul menyembah ucapan serta menjunjung kasih titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di Dewan Negeri Selangor hari ini.

Najwan menambah penganjuran SIBF tahun lalu dianggap paling berjaya dengan anggaran pulangan keuntungan sebanyak RM4.5 juta dan kehadiran pengunjung seramai 229,832 orang.

“Jika dinilai secara objektif, anggaran keuntungan yang dinikmati oleh pengusaha dan pemain industri buku amat memberangsangkan dan ia secara tidak langsung membantu merancakkan kembali industri berkenaan,” katanya.

SIBF 2022 yang diadakan di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada Disember tahun lalu merupakan kesinambungan Pesta Buku Selangor yang diadakan sejak 2006.


Pengarang :