Ahli Dewan Negeri Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin (tengah) bersama wakil penduduk memotong reben sebagai simbolik perasmian trek jogging baharu taman permainan SS25/9 Kelana Jaya pada 23 Mac 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Taman permainan berwajah baharu, MBPJ peruntuk RM370,000 demi keselesaan penduduk

PETALING JAYA, 23 MAC: Penduduk di sekitar SS25A boleh kembali beriadah dan bersenam selepas trek jogging serta beberapa alatan permainan di Taman SS25/9 selesai dinaik taraf awal bulan ini.

Ahli Dewan Negeri Bandar Utama Jamaliah Jamaludin berkata Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memperuntukkan RM370,000 untuk tujuan berkenaan seterusnya memberi keselesaan kepada penduduk.

Trek jogging serta beberapa alatan permainan di Taman SS25/9 selesai dinaik taraf awal Mac lalu dan kini memberi keselesaan kepada penduduk. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Menurutnya projek itu meliputi pembaikan laluan trek jogging, penukaran karpet getah di taman permainan kanak-kanak, tambahan bangku, tambah baik alatan seperti gelongsor, buaian dan memotong rumput serta pokok.

“Usaha menaik taraf padang ini merupakan kerjasama pejabat saya, Ahli Majlis, MBPJ dan komuniti di sini yang sudah lama meminta ia diberi nafas baharu.

Trek jogging serta beberapa alatan permainan di Taman SS25/9 selesai dinaik taraf awal Mac lalu dan kini memberi keselesaan kepada penduduk. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Selepas perbincangan dan mendapat persetujuan MBPJ, projek ini dijalankan November lalu dan siap sepenuhnya awal bulan ini,” katanya ditemui ketika melakukan tinjauan di padang itu hari ini.

Pada masa sama, Jamaliah berharap penduduk di lebih 600 rumah di kawasan itu termasuk orang luar memanfaatkan kemudahan itu dengan baik dan mengelakkan daripada melakukan kerosakan.

“Ini padang keempat dinaik taraf sepanjang saya menjadi wakil rakyat dan kita ada dua lagi taman untuk tujuan sama di bawah Projek Selangor Penyayang, insya-Allah selepas mendapat kelulusan kita akan umumkan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis MBPJ Zon 7 John Leong menarik nafas lega apabila kemudahan di taman itu sudah dibaiki serta kembali ceria dan berhasrat terus membawa suara penduduk bagi memastikan mereka hidup dengan selesa.

Ahli Majlis zon 7 MBPJ, John Leong ketika majlis perasmian trek jogging baharu taman permainan SS25/9 Kelana Jaya pada 23 Mac 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Saya harap bukan sahaja penduduk di sini malah orang luar juga dapat memanfaatkan taman serta trek jogging ini sebaiknya selain dapat beriadah dengan lebih selesa,” katanya.

Selain itu, wakil penduduk SS25/9 Valerie Goh berterima kasih kepada wakil rakyat, MBPJ dan semua yang membantu menjadikan taman itu menarik dan selesa.

“Saya yakin dengan keadaan taman yang berwajah baharu ini pasti lebih ramai penduduk dan orang luar beriadah di sini,” katanya.


Pengarang :