AGENSISELANGOR

Tauliah ceramah, Jais buka permohonan dalam talian hingga 31 Mac

Oleh Diana Abd Wahab

SHAH ALAM, 7 MAC: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) membuka permohonan tauliah ceramah agama secara dalam talian sehingga 31 Mac ini.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata inisiatif tersebut antara langkah yang disediakan untuk memudahkan penceramah membuat permohonan.

“Seseorang yang ingin memohon tauliah ceramah perlu memenuhi beberapa syarat antaranya beragama Islam dalam kalangan  Ahli Sunah Waljamaah serta berusia 18 tahun ke atas.

“Pemohon juga mestilah tidak pernah disabitkan kesalahan jenayah oleh mahkamah sivil atau syariah selain pengetahuan agama Islam sekurang-kurangnya di peringkat empat sanawi atau setaraf dengannya,.

“Selain itu, pemohon juga perlu lulus ujian bertulis dan temu duga serta mendapat kebenaran bertulis daripada majikan dan bermastautin di Selangor,” katanya.

Beliau bercakap kepada media selepas menghadiri Forum Kekeluargaan Undang-Undang  bertajuk Poligami: Mengikut Sunnah atau Mencari Rebah di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam di Masjid Negeri di sini, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata seramai 5,642 penceramah mendapat tauliah  di Selangor setakat  7 Disember tahun lalu.

Beliau juga menegaskan Mais tidak memberi pengecualian atau laluan khas kepada penceramah yang berpengaruh atau popular.

“Penceramah perlu melalui beberapa prosedur membabitkan ujian bertulis, temu duga, tapisan undang-undang seperti syarat yang ditetapkan sebelum dibawa ke Jawatankuasa Tauliah Jais,” katanya.

Pada 3 Mac, EXCO Hal Ehwal Agama Mohd Zawawi Ahmad Mughni meminta agamawan dan asatizah diminta akur dengan ketetapan negeri ini yang hanya membenarkan individu bertauliah menyampaikan ceramah di masjid dan surau.

Beliau berkata keputusan tersebut juga selaras dengan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.


Pengarang :