SEPANG, 18 MAC: Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan merasmikan Taman Kucing di Taman Tasik Cyberjaya di sini hari ini.
Ketibaan Tengku Permaisuri Norashikin pada jam 10.30 pagi disambut EXCO Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Awam Ng Sze Han serta Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) Dato’ Abd Hamid Hussain.
Baginda berkenan mencemar duli meluangkan masa kira-kira setengah jam melawat Taman Kucing seluas 1,000 kaki persegi itu dan bermain bersama kucing di taman berkenaan.

Abd Hamid ketika menyampaikan sembah ucapan berkata pihaknya terharu dengan keberangkatan Tengku Permaisuri ke majlis itu sekali gus menggambarkan keprihatinan dan komitmen Baginda memelihara kebajikan haiwan terbiar.
Menurutnya, tujuan utama pembinaan Taman Kucing itu adalah bagi memberi perlindungan kepada kucing terbiar di sekitar Sepang dalam memastikan ia terpelihara dan tidak berkeliaran tanpa hala tuju.
“Taman Kucing ini dilengkapi dengan sebuah pejabat, ruang istirehat, klinik termasuk unit rawatan rapi, unit pemulihan dan unit rawatan ibu dan anak kucing.

“Pembinaan Taman Kucing ini juga selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan MPSepang dalam menyediakan kemudahan awam yang menyeluruh dan mesra pengguna,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan menjunjung kasih pada Majlis Perasmian Taman Kucing di Taman Tasik Cyberjaya di sini hari ini.
Abd Hamid berkata pihaknya turut mengadakan program “adoption and release” kepada kucing di sini iaitu menyediakan tempat tinggal dengan persekitaran sesuai dan terkawal serta bebas bermain di sekitar taman ini.
“Kucing diberi makan, mendapat perlindungan daripada kesakitan, derita, kecederaan dan penyakit malah taman ini juga sebagai transit bagi kucing terbiar mempunyai peluang untuk dijadikan haiwan kesayangan oleh mana-mana pihak.

“Bagi strategi program kucing angkat, MPSepang bercadang mahu adakan hari terbuka untuk menggalakkan mana-mana individu mengambil kucing ini sebagai haiwan angkat atau bawa pulang untuk dipelihara,” katanya.
Beliau berharap pembinaan Taman Kucing itu mampu memberi impak positif kepada masyarakat terhadap pentingnya memiliki rasa kasih sayang terhadap haiwan sekali gus mempergiat usaha ke arah mengurangkan haiwan terbiar.
Taman Kucing itu dibina pada pertengahan tahun lalu dan siap sepenuhnya Januari 2023 serta dibuka kepada umum awal Februari lalu. Sehingga kini, sebanyak 31 ekor kucing dipelihara.