Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan berangkat ke Program Potong Royong 2023 di Hulu Langat pada 9 Mac 2023. Foto Facebook Selangor Royal Office
AGENDANASIONAL

Tengku Permaisuri seru sayangi haiwan peliharaan, kurangkan kucing berkeliaran

SHAH ALAM, 9 MAC: Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin hari ini berkenan berangkat ke Program Potong Royong 2023 di Hulu Langat.

Menurut kenyataan Selangor Royal Office, Potong Royong merupakan program pemandulan kucing anjuran Fakulti Perubatan Veterinar (FPV), Universiti Putra Malaysia (UPM) bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Antara NGO terlibat ialah Persatuan Pencegahan Penganiayaan Haiwan (SPCA) Selangor, Persatuan Perubatan Veterinar Malaysia (MAVMA) dan Persatuan Veterinar Haiwan Kesayangan Malaysia (MSAVA).

“Baginda berkenan mengunjungi aktiviti kempen seperti pemeriksaan kesihatan kucing, pendidikan mengenai penjagaan kucing dan kepentingan pemandulan serta vaksinasi kucing,” kata kenyataan itu menerusi Facebook hari ini.

Kenyataan itu memaklumkan progam tersebut merupakan inisiatif memberi kesedaran kepada masyarakat kepentingan pemandulan kucing serta menyayangi haiwan peliharaan.

Selain itu, katanya ia juga bagi membantu mengurangkan komplikasi kepada kucing yang berkeliaran tanpa tuan serta salah satu alternatif kawalan populasi kucing.


Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan bergambar bersama wakil Universiti Putra Malaysia (UPM) serta pertubuhan bukan kerajaan dalam Program Potong Royong 2023 di Hulu Langat pada 9 Mac 2023. Foto Facebook Selangor Royal Office

“Pemilik kucing yang ingin turut serta dalam program ini boleh mendaftarkan haiwan mereka terlebih dahulu dengan membuat temujanji di nombor Whatsapp 016-9274530 (SPCA).

“Prosedur pemandulan kucing ini akan dikenakan bayaran tetapi subsidi diberikan di bawah pendanaan ‘Stray Free Selangor’ (SFS) yang dinaungi Tengku Permaisuri Norashikin,” katanya.


Pengarang :