Ketua jurulatih Selangor Tan Cheng Hoe meraikan gol bersama pemain selepas skuad Gergasi Merah itu meraih kemenangan besar 5-0 ke atas Melaka United di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 1 Oktober 2022. Foto Facebook Selangor FC
AGENDASUKANKINI

Tewaskan Penang FC 2-1, Cheng Hoe puji semangat juang pemain Selangor FC

SHAH ALAM, 13 MAC: Jurulatih Selangor FC menyifatkan kejayaan menewaskan Penang FC 2-1 dalam perlawanan keempat Liga Super bukan tugas mudah selepas kedua-dua pasukan beraksi dalam keadaan cuaca panas.

Tan Cheng Hoe berkata anak buahnya terpaksa berhempas pulas sebelum menjaring gol kemenangan menerusi Noor Al-Rawabdeh di hujung perlawanan yang berlangsung di Stadium Bandaraya semalam, lapor Harian Metro.

“Bagi saya ia satu perlawanan yang cukup sengit. Kedua-dua pasukan memburu kemenangan dalam situasi yang cukup kritikal dengan kita menyerang dan perlu bertahan pada waktu yang sama.

“Sebenarnya bahagian taktikal agak kucar-kacir juga apabila jurulatih Penang membuat satu dua pertukaran di bahagian serangan menyebabkan kita dibolosi gol tetapi pada saat akhir kita berjaya mengatasinya,” katanya.

Bekas ketua jurulatih Harimau Malaya itu turut memuji persembahan Faisal Halim yang membantu Ayron del Valle membuka tirai jaringan pada minit ke-28 walaupun belum menghasilkan gol musim ini.

“Barisan jurulatih tidak terlalu risau tentang Faisal kerana sumbangannya kepada pasukan memang terbaik. Dia memberi bantuan untuk Ayron dan itu sangat bermakna.

“Kita juga tidak terlalu menekan Faisal berhubung soal gol kerana kehadirannya ketika ini berjaya membantu menjaringkan gol kemenangan yang berpihak kepada pasukan,” katanya.

Red Giants kini menduduki tangga ketiga liga selepas melakar tiga kemenangan dan satu seri serta menjaringkan sembilan gol akan bertemu Johor Darul Ta’zim di Stadium MBPJ, Petaling Jaya pada 17 Mac.


Pengarang :