Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bersama agensi termasuk Plus mengawal insiden tumpahan minyak diesel dan hidraulik akibat kemalangan di KM 371.9 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah selatan di susur keluar Slim River, Perak tengah malam 1 Februari 2023. Foto Facebook LUAS
AGENDANASIONAL

Tidak semua kes pencemaran air libatkan gangguan bekalan

SHAH ALAM, 29 MAC: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mengambil tindakan pantas menangani pencemaran sumber air termasuk bekerjasama dengan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor Ir Abas Abdullah berkata apabila terdapat pencemaran air pihaknya akan membuat laporan kepada LUAS yang mengawasi lembangan dan alur air di Selangor.

Beliau berkata cabaran pencemaran sumber air sangat besar dan pihaknya perlu mengambil peranan dan tanggungjawab utama.

“Apabila dapat kesan pencemaran, kita lapor LUAS namun tak semua kes melibatkan gangguan bekalan air.

“Sebagai contoh, pada 2022 terdapat 53 kes pencemaran air dan daripada jumlah itu lapan kes libatkan gangguan bekalan air,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program bual bicara Agenda Awani dengan tajuk, Kelestarian Air: Apa ‘Plan’ Air Selangor yang dihoskan Irfan Faruqi malam tadi.

Mengulas lanjut Abas berkata berdasarkan statistik pada 2020 terdapat 94 kes pencemaran air dilaporkan dan pada 2021 merekodkan 67 kes.

Justeru beliau meminta semua pihak memainkan peranan dalam menjaga kelestarian ekosistem air di negara kita pada masa depan.

“Setiap titisan air itu bermakna,” katanya.


Pengarang :