AGENDAJENAYAH

Tiga beradik dijumpai tidak bermaya, dua dirantai pada kaki

SHAH ALAM, 25 MAC: Tiga beradik berusia antara 13 hingga 16 tahun dijumpai orang awam dalam keadaan tidak bermaya sementara dua daripadanya dirantai pada kaki.

Ketua Polis daerah Kangar berkata mereka dijumpai berkeliaran di Jalan Kampung Tambun Tulang, Simpang Empat yang mana dua daripada mangsa adalah orang kurang upaya (OKU), lapor Harian Metro.

“Mangsa dipercayai dikurung dan dirantai di dalam rumah oleh ibu mereka yang tidak tinggal bersama mereka.

“Bagaimanapun, mereka enggan bercakap dan mangsa kini menjalani pemeriksaan di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar,” kata Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yuaop.

Tambah beliau, hasil keterangan awal ibu remaja berkenaan menyatakan beliau merantai mangsa kerana sikap anak-anaknya yang agak sukar dikawal.

Jelasnya lagi, semua mangsa dalam keadaan stabil dan tidak menunjukkan sebarang trauma selain akan diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis.

“Susulan itu kita menahan dua suspek iaitu ibu mangsa berusia 46 tahun dan seorang lelaki yang belum diketahui pertaliannya berusia 31 tahun untuk membantu siasatan.

“Kedua-dua direman selama tujuh hari bermula hari ni sehingga 31 Mac hadapan bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.


Pengarang :