Beberapa buah lori Jabatan Imigresen Malaysia membawa sebahagian tahanan etnik Rohingya dilihat meninggalkan Depot Tahanan Sementara Relau Bandar Baharu dipercayai untuk dipindahkan ke depot tahanan lain. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Tiga lelaki dipercayai seludup 15 pendatang tanpa izin ditahan

KUALA LUMPUR, 8 MAC: Tiga lelaki ditahan dalam Op Gelombang 2 kerana disyaki menjadi ‘transporter’ atau penghantar pendatang tanpa izin di sekitar Jeli dan Gua Musang, Kelantan, Isnin lalu.

Operasi berkenaan turut menahan 15 pendatang tanpa izin berusia 24 hingga 54 tahun terdiri daripada 12 lelaki dan tiga wanita warga Indonesia.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud dalam kenyataan hari ini berkata mereka dipercayai tiba dari negara jiran melintasi Sungai Golok dan kemudian dipindahkan dengan tiga kenderaan ke rumah penampungan.

Beliau berkata berdasarkan maklumat dan risikan selama dua minggu, pasukan operasi mendapati modus operandi sindiket itu adalah masuk melalui laluan udara ke Thailand dari Indonesia dan menyeludup melintasi sempadan Malaysia-Thailand melalui Sungai Golok.

Khairul Dzaimee berkata dalang sindiket dipercayai mengenakan bayaran antara RM6,000 hingga RM7,000 bagi setiap pendatang tanpa izin untuk masuk ke Malaysia.

“Kesemua pendatang tanpa izin ini kemudian dibawa ke destinasi tertentu di luar Kelantan seperti Lembah Klang, Melaka, Pulau Pinang dan Johor Bahru untuk bekerja secara tidak sah manakala pendatang tanpa izin wanita pula mereka dipercayai bekerja sebagai tukang urut atau menawarkan perkhidmatan seks.

“Siasatan awal mendapati ‘transporter’ tempatan ini menerima upah antara RM150 hingga RM250 bagi setiap pendatang tanpa izin yang diangkut dari sempadan menaiki kenderaan ditetapkan,” katanya.

Khairul Dzaimee berkata semasa serbuan dilakukan, terdapat ‘transporter ‘dan pendatang tanpa izin cuba melarikan diri dengan bertindak agresif dan memberi ancaman secara fizikal namun tindakan mereka berjaya digagalkan pegawai operasi.

Beliau berkata sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak Mei 2022 dan menyasarkan pendatang tanpa izin dari Indonesia, Myanmar, Bangladesh dan India yang cuba merebut peluang pekerjaan secara haram di negara ini.

“Berdasarkan anggaran, seramai 160 pendatang tanpa izin sebulan dibawa masuk oleh sindiket ini menyebabkan kerajaan kerugian hasil RM1.7 juta dalam bentuk kutipan levi pekerja asing.

“Kesemua pendatang asing ini disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 serta Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007,” katanya.

Khairul Dzaimee berkata tiga kenderaan pelbagai jenis yang dianggar bernilai RM100,000 disita manakala tiga ‘transporter’ terbabit akan direman bagi membantu siasatan.

– BERNAMA


Pengarang :