Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang juga pusat pentadbiran rasmi Kerajaan Negeri. Foto ARKIB SELANGORKINI
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Tiga penggal pegang mandat, Selangor rintis reformasi pentadbiran

SHAH ALAM, 14 MAC: Pelbagai pembaharuan penting berjaya dilaksanakan sepanjang 15 tahun Pakatan
Rakyat mentadbir Selangor.

Selain nikmat kepada rakyat, pentadbiran negeri menjadi lebih cekap, telus dan bertanggungjawab.

Wartawan ABDUL RAHIM SABRI menyorot beberapa pencapaian ke arah reformasi tersebut, termasuk penggubalan undang-undang dan dasar yang diputuskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

1. Penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT)

Ahli jawatankuasa Selcat mendengar penerangan daripada agensi berkaitan berhubung penilaian prestasi ahli majlis dan PBT di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 20 Februari 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Jawatankuasa berkenaan bertanggungjawab memantau, memeriksa keupayaan dan ketelusan pentadbiran Kerajaan Selangor, agensi, badan berkanun, pihak berkuasa dan pertubuhan berkaitan dengan atau bawah pentadbiran negeri.

Dipengerusikan Speaker Dewan Negeri dan dianggotai beberapa wakil rakyat termasuk pembangkang sebagai semak dan imbang.

Sejak ditubuhkan pada 2008 hingga 2020, sebanyak 16 pendengaran awam diadakan dan memberi syor kepada Kerajaan Negeri untuk tindakan susulan, antaranya:

  • April 2009: kewangan Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Selangor (BALKIS) yang dipindah sebelum pilihan raya 2008
  • April 2012: banjir di Hulu Langat dan Klang Selatan pada Mac termasuk syor penyelesaian masalah
  • Januari 2015: aduan orang ramai kakitangan awam tidak patuh Enakmen Kebebasan Maklumat tanpa alasan jelas
  • Februari 2016: penyebaran denggi dan usaha pembanteras wabak itu yang dilapor tertinggi pada 2015
  • Februari 2020: prestasi khidmat ahli majlis dan 12 pihak berkuasa tempatan

2. Penggubalan Enakmen Kebebasan Maklumat

Selangor mencatat sejarah sebagai negeri pertama meluluskan Enakmen Kebebasan Maklumat 2010 pada 1 April 2011. Ia disokong sebulat suara Ahli Dewan Negeri tanpa pindaan.

Ia mempertingkatkan penzahiran maklumat bagi kepentingan awam dan memberi peluang kepada individu mengakses maklumat setiap jabatan.

Seorang pegawai maklumat dilantik sebagai perantara jabatan dengan orang awam dalam permohonan maklumat. Ia wajib dijawab dalam tempoh 30 hari atau tujuh hari dalam kes-kes kecemasan.

3. Pendengaran awam untuk nyahwarta hutan

Selangor merintis penguatkuasaan kaedah penyiasatan awam sebagai syarat penyahwartaan hutan simpan kekal (HSK).

Ia dibuat melalui pindaan Seksyen 11 Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan 1985 pada 2011.

Ia dibuat dengan memasukkan pindaan “semua pengeluaran hutan simpan kekal (HSK) perlu melalui Kaedah Penyiasatan Awam seperti yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Negeri”.

Justeru, proses penggantian rizab hutan perlu dilakukan serentak mengikut panduan Seksyen 12, Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985.

4. Hutan ganti

Sebahagian kawasan tanah gambut dalam Hutan Simpan Kuala Langat Utara dilihat dari menara tinjau Jabatan Perhutanan Negeri Selangor ketika lawatan pada 26 Februari 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Kerajaan Selangor menetapkan dasar menggantikan hutan sekiranya HSK dinyahwarta.

Ia selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri menyasarkan keluasan hutan simpan dalam negeri sebanyak 32 peratus menjelang 2025.

Penggantian dibuat serentak dengan pengambilan kawasan berkaitan. Keluasan hutan simpan diganti lebih besar dan kualiti sama dengan lokasi tanah diambil.

Pada 2021, keluasan hutan 31.6 peratus daripada seluruh keluasan negeri. Selangor berjaya mencapai pengekalan HSK kedua tertinggi di Malaysia sepanjang 2018.

5. Tiada pembalakan di Selangor

Satu-satunya negeri yang menguatkuasakan dasar pengharaman pembalakan selama 25 tahun mulai 2010 sehingga 2035.

Aktiviti pembalakan di kawasan hutan simpan kekal atau kawasan sekitarnya juga tidak dibenarkan. Permohonan lesen pembalakan turut dibekukan.

Selangor tidak mahu menambah pendapatan negeri melalui pembalakan meski undang-undang Majlis Perhutanan Negara membenarkan 1,000 hektar setahun diteroka untuk tujuan itu.

6. Denda maksimum RM1 juta kepada pencemar air

Kakitangan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menjalankan ujian pensampelan di jambatan Sungai Pajam pada 2 Disember 2022 bagi mengatasi masalah pencemaran air di Sungai Semenyih. Foto Facebook LUAS

Pada 9 November 2020, Dewan Negeri Selangor meluluskan pindaan Rang Undang-Undang Lembaga Urus Air Selangor (Luas) dengan hukuman maksimum sehingga RM1 juta kepada pencemar air.

Selain itu, pesalah juga dikenakan hukuman penjara mandatori selain Luas boleh menuntut kos membersih sumber air serta ganti rugi sepanjang memegang harta yang disita.

Sebelum pindaan, pencemar hanya dikenakan denda maksimum RM100,000. Pindaan itu turut disokong wakil rakyat pembangkang.

Pindaan itu sebagai pengajaran kepada pencemar sungai di Selangor yang menjejaskan jutaan pengguna termasuk di Kuala Lumpur.

Skuad Pantas Luas dibentuk memantau 24 jam untuk mengelak pencemaran terhadap sumber air negeri melalui pengawasan berteknologi tinggi.


Pengarang :