Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Aiman Athirah Sabu berucap pada Majlis Sumbangan Tabung Kasih kepada waris mangsa keganasan rumah tangga di kementerian itu pada 31 Januari 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Tindakan terhadap anak tidak bertanggungjawab melalui Rang Undang-Undang Warga Emas

KUALA LUMPUR, 15 MAC: Rang Undang-Undang Warga Emas dijangka dibentangkan di Parlimen tahun depan, antara lain mengambil kira tindakan undang-undang terhadap anak yang tidak bertanggungjawab kepada ibu bapa mereka.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Aiman Athirah Sabu berkata penggubalan rang undang-undang itu bertujuan melindungi warga emas di Malaysia dan sebagai persediaan negara menghadapi status negara tua pada 2030.

Beliau berkata Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah menjalankan satu kajian kandungan, pendekatan dan skop bagi pewujudan akta berkenaan.

“KPWKM akan teliti kesesuaian undang-undang terhadap anak-anak yang tidak bertanggungjawab kepada ibu bapa dalam akta tersebut bagi memastikan kesedaran masyarakat umum tentang kepentingan menjaga warga emas,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) mengenai sama ada kerajaan berhasrat memperkenal undang-undang mewajibkan potongan gaji anak yang menghantar ibu bapa ke pusat jagaan di negara ini.

Mengulas lanjut, Aiman Athirah berkata antara kandungan rang undang-undang tersebut ialah melindungi kebajikan dan hak asasi warga emas, memperkasa warga emas dan ahli keluarga serta komuniti, mewujudkan sistem sokongan yang kuat terhadap warga emas serta sistem sokongan kukuh buat penjaga.

Dalam pada itu, beliau berkata KPWKM telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memelihara kebajikan warga emas di negara ini antaranya mewujudkan perkhidmatan institusi Rumah Seri Kenangan (RSK) dan Rumah Ehsan (RE) khusus bagi warga emas yang memerlukan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

– BERNAMA


Pengarang :