Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi beramah mesra dan menyampaikan kit bantuan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara di SJK(C) New Kota, Kota Tinggi pada 2 Mac 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

TPM: Lapan pusat pemindahan kekal, selesa dibina

ALOR SETAR, 5 MAC: Sebanyak lapan buah dewan yang akan dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) kekal bagi menempatkan mangsa banjir, sedang dibina di kawasan sekolah yang sering dijadikan PPS.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pembinaan kemudahan yang menggunakan peruntukan sedia ada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) itu, bagi memastikan mangsa yang dipindahkan ke PPS dapat menggunakan kemudahan yang lebih selesa.

Beliau bagaimana pun tidak menyatakan lokasi lapan dewan tersebut dibina, namun memaklumkan kemudahan itu akan diuruskan oleh pihak sekolah dan boleh digunakan oleh pelajar ketika bukan musim banjir.

“Di sekolah yang sering dijadikan PPS ada antaranya yang ada tandas tetapi tempat mandi tidak ada, dengan pembinaan dewan itu akan ada tandas dan tempat mandi.

“Jadi mereka yang ditempatkan di dewan itu dapat menggunakan kemudahan itu. Tetapi di luar musim banjir dewan dan kemudahan itu, boleh digunakan oleh pelajar sekolah tersebut,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke ibu pejabat Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata dianggarkan terdapat kira-kira 1,000 buah sekolah yang sering dijadikan PPS ketika musim banjir di beberapa buah negeri di Semenanjung.

Bagaimana pun beliau menjelaskan pembinaan dewan PPS tersebut akan mengikut keutamaan di kawasan-kawasan sekolah, yang akan dikenal pasti.

Mengulas lanjut mengenai situasi banjir yang melanda beberapa negeri ketika ini, Ahmad Zahid berkata koordinasi antara agensi yang berkaitan sentiasa dilakukan, supaya bantuan kepada mangsa yang terjejas dapat dilakukan dengan berkesan dan cepat.

Sebagai contoh katanya apabila beliau ke Selancar, Rompin baru-baru ini, ada jalan yang terputus dapat diselesaikan dalam tempoh kurang 72 jam, dengan kerjasama antara Rejimen Jurutera Angkatan Tentera Malaysia dan Jabatan Kerja Raya manakala peruntukan daripada NADMA.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata KEDA menghadapi beberapa masalah untuk memajukan kawasannya termasuk bank tanah yang kecil dan berselerak, dan isu tanah terbiar.

Beliau berkata pengurusan tertinggi agensi itu, akan mencari jalan bagi menyelesaikan isu tersebut khususnya tanah terbiar, agar dapat dibangunkan dan dimanfaatkan pemilik tanah.

“Kementerian khususnya KSU (Ketua Setiausaha) dan pegawai kanan, akan membantu untuk menambahkan belanjawan bagi tahun 2024 untuk KEDA, asalkan KEDA dapat memberikan justifikasi kepada projek-projek baharu, perancangan baharu dan juga masa yang akan datang untuk KEDA terus memacu pembangunan di kawasannya,” katanya.

— BERNAMA


Pengarang :