Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjawab soalan ketika sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 17 Mac 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Tubuh jawatankuasa kecil pastikan projek bawah RS-1 lancar

SHAH ALAM, 17 MAC: Jawatankuasa kecil melibatkan semua agensi bakal diwujud bagi memastikan tiga projek mega terkandung dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) berjalan lancar.

Projek tersebut meliputi Wilayah Pembangunan Bersepadu Selangor Selatan (IDRISS), Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA) dan Gerbang Maritim Selangor (SMG), kata Dato’ Menteri Besar.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, jawatankuasa itu bakal diketuai EXCO, Ahli Dewan Negeri atau pegawai yang boleh meneliti projek berkenaan selain mendapatkan laporan bulanan.

“Kita libatkan semua agensi supaya setiap perkara kecil dapat diuruskan. Kadangkala ada tatacara perlukan masa antara tiga ke empat hari. Kalau projek tertangguh pun dalam pengetahuan kita,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Menjawab soalan wakil rakyat Sijangkang Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi, beliau berkata 18 daripada 262 projek dalam kerangka lima tahun pembangunan negeri itu siap dilaksana setakat bulan lalu.

Amirudin menambah sebanyak 64 projek dalam perancangan sementara 180 projek sedang dilaksana bagi melengkapkan teras pengukuhan ekonomi, kerangkuman sosial, kelestarian dan tadbir urus baik.

RS-1 diumum pada Julai tahun lalu bagi membentuk ekonomi mampan dan cekal demi kesejahteraan rakyat selain mencapai hasrat negeri menyumbang 30 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar pada 2025.

 


Pengarang :