Foto Bernama
AGENDANASIONAL

Tujuh daerah di Selangor berisiko dilanda banjir kilat, penduduk diminta waspada

SHAH ALAM, 3 MAC: Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan notis kesiapsiagaan kemungkinan banjir kilat dalam tempoh 12 jam di tujuh negeri termasuk Selangor hari ini.

Agensi itu menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada 12 tengah hari tadi memaklumkan enam lagi negeri diramal banjir kilat ialah Perak, Pulau Pinang, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, dan Sarawak.

Di Selangor, tujuh daerah berisiko dilanda banjir kilat iaitu di daerah Hulu Langat, Klang, Kuala Langat, Kuala Selangor, Sepang, Sabak Bernam dan Petaling

Antara lokasi dijangka terjejas adalah mukim Beranang, Bandar Klang, Kapar, Pandamaran, Kelanang, pekan Chodoi, pekan Jenjarom, Bestari Jaya, Sepang, dan Dengkil.

Notis kesiapsiagaan dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutamanya di kawasan yang berisiko untuk berwaspada dengan sebarang kemungkinan berlakunya banjir kilat bagi tempoh tersebut.

Agensi itu turut meminta penduduk mematuhi arahan pihak berkuasa atau agensi-agensi pengurusan bencana banjir.

Untuk maklumat lanjut boleh layari laman sesawang https:/publicinfobanjir.water. gov.my, Facebook @PublicInfoBanjir dan Twitter.


Pengarang :