Aksi-aksi separuh akhir Liga Super Wanita 2023 baru-baru ini. Foto Facebook Persatuan Bolasepak Selangor
AGENDASUKANKINI

UPNM FC, MBSJ FC jangka perlawanan akhir Liga Super Wanita sengit

SHAH ALAM, 15 MAC: Dua finalis Liga Super Wanita (WSL) UPNM FC dan MBSJ FC giat melakukan persediaan rapi menjelang perlawanan akhir di Stadium MBPJ, Petaling Jaya hujung minggu ini.

Ketua jurulatih UPNM FC menjelaskan pasukannya akan memperbaiki segala kelemahan dan menjangka saingan sengit daripada pihak lawan yang memiliki pemain berpengalaman.

“Kami akan cuba berikan persembahan terbaik untuk membawa pulang piala WSL ke universiti. (Kejayaan mara ke akhir) juga menjadi salah satu cara memperkenal universiti kami.

“Secara tidak langsung (ia) memberi semangat kepada pemain di luar sana untuk menyambung pengajian di institut pengajian tinggi dan meneruskan minat dalam bola sepak,” kata Hairul Nizar Nur Halim.

Sementara itu, ketua jurulatih MBSJ FC yakin pasukannya mampu memenangi WSL meskipun tanpa tonggak utama Siti Asnidah Zamri, yang digantung perlawanan selepas mengutip kad merah sebelum ini.

Mohd Fairuz Mohd Noor berkata pasukannya akan menampilkan corak permainan berbeza dan bersedia jika perlawanan terpaksa diheret ke penentuan sepakan penalti.

“Ketiadaan Siti Asnidah merencatkan sedikit perancangan kami selain beberapa pemain utama yang menyertai kem latihan skuad kebangsaan sehingga Jumaat ini. Bagaimanapun, saya tetap yakin pemain yang ada mampu mencipta kejayaan yang diimpikan,” katanya.

Terdahulu, MBSJ FC menewaskan Kelana United 8-7 manakala UPNM FC menang ke atas FC Spicegals 4-3 dalam penentuan sepakan penalti.

 


Pengarang :