Pengunjung Jelajah Ehsan Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras di Taman Impian Indah, Sungai Buloh pada 21 Mac 2023 mengambil peluang mendapatkan pau pelbagai perisa di Kendera Saji Pau Adik yang dijual serendah RM1 sebiji. Foto SHAMZ JOHAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Jualan pau makin laris sejak dibenar tumpang niaga di Jelajah Ehsan Rakyat

Oleh SHAMZ JOHAN

SHAH ALAM, 21 MAC: Peniaga pau terharu apabila jualannya yang semakin laris sejak dibenarkan berniaga dibeberapa lokasi Jelajah Ehsan Rakyat.

Anuar Zaidi Mohamad berkata pau pelbagai perisa yang dijual serendah RM1 sebiji turut menarik minat pengunjung jualan murah berkenaan.

“Boleh dikatakan setiap hari saya akan buka di lokasi jualan murah selepas mendapat kebenaran. Saya guna konsep jual murah sambil bersedekah.

“Alhamdulillah, sambutan semakin meningkat sehingga terpaksa menolak tawaran berniaga di bazar Ramadan,” katanya ditemui di jualan murah Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras di Taman Impian Indah, Sungai Buloh di sini hari ini.

Anuar Zaidi Mohamad bersyukur diberi peluang tumpang berniaga di lokasi Jelajah Ehsan Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras di Taman Impian Indah, Sungai Buloh pada 21 Mac 2023. Foto SHAMZ JOHAN/SELANGORKINI

Selain pau berperisa kacang merah, seri kaya, kari, lada hitam, rendang daging dan sambal bilis, Anuar turut menjual pelbagai kuih-muih sejuk beku menerusi kendera sajinya.

Beliau memanfaatkan sepenuhnya peluang berniaga di lokasi tumpuan penduduk itu bagi mempromosi jualan atas jenama Pau Adik yang diusahakannya.

Kebenaran pemuda itu berniaga dilokasi berkenaan mendapat kebenaran dari pihak DUN setelah berbincang dengan pengurusan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor selaku pengelola jualan murah.

Terdahulu, lebih 400 penduduk mengambil kesempatan mendapatkan barangan asas murah dilokasi jualan berkenaan.

Jualan murah tersebut menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan)

Selain itu turut dijual ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) serta beras lima kilogram (RM10).


Pengarang :