Tangkap layar rakaman video ucapan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sempena Ramadan dan program tadabbur al-Quran sehari satu ayat.
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Wajib taati ibu bapa, hidup diberkati (VIDEO)

SHAH ALAM, 26 MAC: Derhaka kepada ibu bapa adalah berdosa besar sebaliknya seseorang anak itu diwajibkan berbuat baik, taat serta menjaga hubungan dengan orang tua mereka.

Menghuraikan ayat lapan surah Al ‘Ankabut yang dibaca Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, Ustaz Roslan Mohamed berkata ayat yang berkisar hubungan dengan ibu bapa itu menjelaskan konsep bagaimana anak memberi penghormatan, cinta, kasih dan sayang terhadap ibu bapa.

“Emak ayah kita adalah insan yang sangat dekat di hati dan jiwa kita, mereka melahirkan, membesarkan kita dan Allah SWT menukilkan kewajipan jangan kita berlaku zalim, kasar kepada mereka.

“Dalam ayat ini juga ada makna tersirat iaitu ada nilai keharmonian, hatta kalau mak ayah kita bukan Islam, kita tak boleh kata mereka kufur, kafir….tidak…sebaliknya ulama berkata dua sikap perlu dilakukan iaitu doa kepada mereka, berlaku baik serta merapati, mendekati mereka,” kata bekas pensyarah kanan Universiti Malaya itu.

Beliau membuat huraian itu dalam program Tadabbur al-Quran anjuran Pejabat Dato’ Menteri Besar dan Media Selangor yang membaca satu ayat setiap hari sepanjang Ramadan ini.

Amirudin yang turut mengulas ayat berkenaan berkata Allah SWT mengingatkan anak wajib berbuat baik kepada ibu bapa kecuali dalam soal menyekutukan atau mereka minta melakukan kejahatan.

“Yang lain kita semua harus patuh….dalam sejarah sahabat Nabi (Sa’ad ibn Abi Waqqas RA) seperti Ustaz ceritakan tadi, ibunya bertegas tetapi dia tidak berkasar malah melayan dengan cara baik,” katanya.

Amirudin berkata dalam kehidupan seharian kita sibuk dan terlupa dengan ibu bapa malah ada yang tinggal berdekatan tetapi tidak sempat bertanya khabar.

“Perkara ini yang perlu kita ingati pada bulan Ramadan ini. Saya teringat satu hadis, ada tiga golongan mendapat kecelakaan salah satunya oang yang derhaka kepada ibu bapa dan ini ingatan kepada kita supaya menjaga hubungan dengan mereka,” katanya.

Sementara itu Roslan berkata bagi anak yang ibu bapanya sudah meninggal dunia, banyakkan berdoa, membuat kebaikan dan amal soleh serta bersedekah supaya segala pahala dapat kepada mereka yang sudah tiada.

Majlis yang bermula 23 Mac lepas dipancar melalui media sosial Pejabat Dato’ Menteri Besar dan Media Selangor. Episod satu menyentuh kepentingan infak sebahagian harta manakala episod dua kepentingan bersyukur sebagai bukti keimanan.

Episod ketiga pula mengenai taubat sebagai kunci kejayaan dan keampunan daripada-Nya.


Pengarang :