Ahli Dewan Negeri (ADN) Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin bercakap kepada media selepas melancarkan mesin layan diri makanan khusus untuk B40 di Rumah Pangsa Kayu Ara, Petaling Jaya pada 27 Mac 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Wakil rakyat guna mesin layan diri promosi program negeri di Bandar Utama

OLEH DIANA ABD WAHABi

PETALING JAYA, 27 MAC: Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama mempromosikan insentif disediakan Kerajaan Negeri menerusi mesin layan diri (vending machine) yang menyalurkan bantuan makanan bagi golongan kurang berkemampuan (B40) dalam kawasannya.

Ahli Dewan Negerinya Jamaliah Jamaluddin berkata mesin tersebut bertindak sebagai serampang dua mata dengan menyalurkan bantuan dan maklumat kepada golongan sasar.

“Menerusi dua mesin layan diri di Pangsapuri Kayu Ara yang menyediakan barangan keperluan dan penjagaan diri dibeli menerusi akaun e-dompet, kita juga promosikan program Kerajaan Negeri menerusi video dipaparkan di skrin.

“Inisiatif ini bagi memudahkan orang ramai khususnya B40 bagi mendapatkan maklumat. Antara program diuar-uarkan ialah Skim Mesra Usia Emas (SMUE), Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas), Skim Insurans Am Selangor (INSAN) dan Rumah Selangorku,” katanya.

Jamaliah bercakap kepada pemberita pada majlis pelancaran mesin layan diri bantuan makanan bagi golongan B40 di Pangsapuri Kayu Ara, Bandar Utama di sini, hari ini.

Beliau berkata pihaknya memperuntukkan RM30,000 dengan mengkreditkan RM100 ke dalam akaun e-dompet 100 penerima bagi tiga bulan pertama mesin layan diri itu beroperasi.

“Menerusi projek perintis ini kita tempatkan dua mesin yang diisi 19 produk makanan dan 45 produk penjagaan diri dan ubat-ubatan.

“Ini beri kemudahan pada penerima kerana mereka boleh dapatkan barang diperlukan pada bila-bila masa dengan pembelian menerusi e-dompet kerana beroperasi 24 jam sehari,” katanya.


Pengarang :