Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Azhan Md Amir (kemeja putih) melepaskan ikan di Tasik Bandaran Kelana Jaya pada 10 Mac lalu sempena pertandingan PJ Joran 2023 pada 19 Mac ini. Foto MBPJ
PBTSELANGOR

Wang tunai RM10,000 menanti kaki pancing di PJ Joran Ahad ini

Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 13 MAC: Kaki pancing dijemput menyertai pertandingan PJ Joran 2023 yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM10,000 di Tasik Bandaran Kelana Jaya, Petaling Jaya Ahad ini.

Pertandingan anjuran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bermula jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari itu turut menawarkan hadiah cabutan bertuah berupa produk memancing dan televisyen 32 inci.

“Hadiah wang tunai diberikan kepada 105 peserta. Juara akan membawa pulang RM6,000, naib juara (RM2,000) dan tempat ketiga (RM1,000).

“Sementara juara ikan keli akan mendapat RM300,” menurut Unit Komunikasi Korporatnya menerusi kenyataan.

Menyasarkan 800 peserta, yuran penyertaan ialah RM50 setiap joran dan RM40 untuk orang kurang upaya (OKU) sementara 500 peserta terawal akan mendapat baju T percuma.

Antara spesis ikan yang sediakan ialah patin, keli, belida, koi, kap, tilapia, lekoh, peacock bass dan haruan.

Pendaftaran boleh dibuat pada 18 Mac (Sabtu) bermula pukul 1 tengah hari hingga 10 malam dan pukul 6.30 pagi (Ahad) di lokasi pertandingan.

Sebarang pertanyaan boleh hubungi talian 013-266 7011, 012-284 6811, 012-355 4946 atau Bahagian Kebudayaan Kesenian, Sosial dan Pelancongan di talian 03-7781 0178.


Pengarang :