Orang ramai membanjiri kemah jualanan Program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Teratai di Ampang Jaya pada 2 Mac 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Warga emas lega tidak perlu beratur, puji inisiatif nombor giliran di jualan murah

Oleh AZIAN AZIZ

AMPANG JAYA, 2 MAC: Warga emas memuji inisiatif Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan Pusat khidmat Masyarakat yang menyediakan nombor giliran pada program Jelajah Ehsan Rakyat di Taman Muda di sini.

Normadiah Mat Yet, 66, yang menetap di Taman Muda berkata pengunjung terawal yang sudah mendapat nombor giliran tidak perlu beratur sebaliknya hanya perlu menunggu nombor mereka dipanggil.

Normadiah Mat Yet. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

“Saya datang 9 pagi dan selepas dapat nombor giliran saya duduk berbual bersama rakan-rakan di kawasan berdekatan lokasi jualan murah. Bila nombor dipanggil baru saya pergi ke kaunter.

“Cara ini memang membantu saya dan rakan-rakan warga emas lain. Sebelum ini tiada sistem nombor di kawasan ini jadi bila tengok barisan panjang saya terus balik rumah kerana tak larat beratur panjang,’’ katanya ketika ditemui pada jualan murah Dewan Undangan Negeri (DUN) Teratai hari ini.

Normadiah yang dua kali mengunjungi program berkenaan mengakui sangat berbaloi berbelanja kerana barangan yang dijual murah dan berkualiti.

“Hari ini saya belanja lebih RM100 untuk beli barangan dapur termasuk dua kampit beras yang memang berkualiti dan sedap dimakan,’’ tambahnya.

Katherin Tan. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Pandangan sama turut dikongsi Katherin Tan, 71, dari Lembah Maju selain menambah beliau berpeluang untuk duduk dan bersembang bersama rakan-rakan sementara menanti nombor gilirannya dipanggil menerusi pembesar suara.

“Hari ini saya belanja RM70 untuk beli sebotol minyak, satu pek ikan, sekampit beras, sepapan telur dan dua ekor ayam.

“Saya sudah lama tidak kerja dan anak yang beri duit belanja jadi bila dapat beli barangan murah memang lega,’’katanya yang sudah tiga kali berbelanja di jualan murah anjuran Kerajaan Negeri.

Jeselin Xavier. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Sementara itu, Jeselin Xavier, 67 dari Kampung Tasik Permai memberitahu dia bernasib baik dapat membeli semua barangan asas yang ditawarkan walaupun tiba lewat.

“Ini kali pertama saya datang berbelanja. Sebelum ini saya sering terlepas kerana tidak tahu di mana untuk mendapatkan maklumat mengenai lokasi jualan tersebut.

“Namun, 10 pagi tadi ada rakan memberitahu lokasi jualan ini menerusi WhatsApp. Selepas ini saya tidak akan terlepas lagi jualan murah kerana harga yang ditawarkan memang berbaloi,’’ katanya.

 


Pengarang :