Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan keperluan harian yang dijual murah menerusi Jelajah Ehsan Rakyat di Masjid Nurul Iman Kampung Ijok, Kuala Selangor pada 6 Mac 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Warga emas, suri rumah saran jualan murah dianjur lebih kerap pada Ramadan

Oleh Diana Abd Wahab

KUALA SELANGOR, 6 MAC: Kebanyakan pengunjung Jelajah Ehsan Rakyat (JER) meminta Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menganjurkan program jualan murah itu lebih kerap sepanjang Ramadan serta menjelang Syawal.

Kadar Karimin. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM

Kadar Karimin 71, yang hanya melakukan kerja kampung berkata program itu terbukti membantu golongan berpendapatan rendah (B40) menjimatkan perbelanjaan.

“Pakcik memang tertunggu-tunggu program ini kerana harga yang ditawarkan jauh berbeza berbanding beli di kedai.

“Pakcik minta PKPS adakan program ini lebih kerap  sepanjang Ramadan dan menjelang Aidilfitri nanti kerana kebanyakan penduduk hanya kerja kampung dan tiada pendapatan tetap,” katanya  yang ditemui dalam Jelajah Ehsan Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok di Masjid Nurul Iman Kampong Ijok di sini, hari ini.

Siti Amukhani Mohd Salleh.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM

Bagi suri rumah Siti Amukhani Mohd Salleh 58,  yang sudah tiga kali berbelanja pada jualan murah negeri turut bersetuju supaya lebih banyak program dianjurkan pada Ramadan nanti.

“Kita memang tunggu program ini diadakan kerana banyak bantu jimatkan perbelanjaan barang dapur. Saya ambil kesempatan beli barang tapi hanya cukup untuk seminggu tidak sempat tunggu puasa.

“Kalau boleh adakan jualan murah lebih kerap sepanjang Ramadan agar dapat bantu kami berjimat untuk sambut Aidilfitri,” katanya.

Mohamad Putih. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM

Pesara Mohamad Putih, 67, yang turut menyokong cadangan itu selain berharap PKPS menambah kuantiti enam jenis barang keperluan yang dijual.

“Sekarang pembeli dihadkan beli hanya seekor ayam dan sepapan telur, saya rasa lebih baik tambah kuantiti. Seekor ayam tak cukup jika ramai ahli keluarga tambah pula ayam memang jadi menu pilihan untuk berbuka puasa dan ketika raya nanti,” katanya.

Sementara suri rumah Rosilah Jamali, 60, meminta agar penganjur mempercepatkan proses jual beli bagi mengelak agar warga emas berpanas.

Rosilah Jamali. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM

“Kebanyakan penduduk datang seawal 8 pagi biarpun jualan mula jam 10 pagi. Ikutkan memang tak larat menunggu lama tapi demi dapatkan barangan murah saya tak ada pilihan.

“Terima kasih kepada pihak DUN kerana sediakan khemah dan kerusi. Cuma saya minta percepatkan proses kerana dalam usia begini memang tak larat nak menunggu,” katanya.

Jualan murah menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Inisiatif tersebut memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga Disember tahun lepas.

Susulan sambutan menggalakkan, Kerajaan Negeri memperluaskan jualan barangan asas murah ke 1,200 lokasi mulai 15 Januari hingga menjelang Mei.


Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan keperluan harian yang dijual murah menerusi Jelajah Ehsan Rakyat di Masjid Nurul Iman Kampung Ijok, Kuala Selangor pada 6 Mac 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Pengarang :