Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama simbolik penyerahan Bakul Rahmah pada majlis pelancaran dan penyerahan Bakul Rahmah peringkat Selangor 2023 di Kuala Selangor pada 25 Mac 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINII
AGENDANASIONAL

Warga emas terharu, menitiskan air mata ketika terima Bakul Rahmah

KUALA SELANGOR, 26 MAC: Marsiah Satari, 72, menitiskan air mata sejurus menerima bantuan Bakul Rahmah yang disampaikan Dato’ Menteri Besar di sini semalam.

Warga emas itu tidak dapat menahan sebak kerana bantuan dalam bentuk keperluan harian itu pertama kali diterimanya.


Penerima Bakul Rahmah Marsiah Satari, 72, menangis ketika menerima bantuan itu yang disampaikan Dato’ Seri Amirudin Shari di Kuala Selangor pada 25 Mac 2023. Foto SITI ROHAIZAH ZAINAL/SELANGORKINI

“Saya dimaklumkan menerima bantuan Bakul Rahmah ini semalam (kelmarin) dan sangat gembira kerana ia meringankan beban saya terutama pada bulan mulia ini.

“Seronok dapat bantuan ini, selalu orang lain dapat, tapi kali ini saya dapat merasainya,” katanya ditemui selepas majlis pelancaran dan agihan Bakul Rahmah peringkat negeri yang dilancarkan Dato’ Seri Amirudin Shari semalam.

Sementara itu, M Sumitha, 25, berkata bantuan Bakul Rahmah yang diterimanya itu tepat pada waktunya kerana dia dan suami masih mencari kerja selepas berpindah dari Rawang bulan lalu.

“Saya memang asal sini dan berpindah kerana suami diberhentikan kerja. Bukan tidak mahu bekerja tetapi sampai sekarang kami masih mencari kerja untuk menyara keluarga.


M Sumitha, 25, antara penerima Bakul Rahmah yang disampaikan Dato’ Seri Amirudin Shari di Kuala Selangor pada 25 Mac 2023. Foto SITI ROHAIZAH ZAINAL/SELANGORKINI

“Buat masa ini, kami gunakan simpanan dan anak yang masih bersekolah hanya menggunakan barangan lama sahaja. Apabila mereka beritahu saya terima bantuan, sangat gembira,” katanya.

Februari lalu, menteri kos sara hidup memaklumkan 37,373 ketua isi rumah (KIR) miskin tegar di seluruh negara bakal menerima bantuan keperluan asas menerusi inisiatif Bakul Rahmah.

Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata usaha di bawah program Payung Rahmah bernilai RM100 itu menyasarkan golongan B10, iaitu miskin tegar berpendapatan kurang RM2,500.

Salahuddin berkata inisiatif itu melibatkan kerjasama rakan strategik, pasar raya, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).


Pengarang :