ADNSELANGOR

Warga Kampung Tunku dipelawa mohon baucar beli-belah Aidilfitri

PETALING JAYA, 1 MAC: Warga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kampung Tunku beragama Islam dipelawa memohon Baucar Jom Shopping Aidilfitri bernilai RM200 yang kini dibuka untuk pendaftaran.

Terhad kepada 400 penerima, wakil rakyatnya Lim Yi Wei berkata hanya mereka yang memenuhi kriteria sahaja layak untuk menerima manfaat berkenaan.

Ahli Dewan Negeri Kampung Tunku Lim Yi Wei. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Individu mesti warganegara Malaysia, pengundi DUN Kampung Tunku, beragama Islam, pendapatan kurang RM3,000 dan bukan penerima bantuan Skim Mesra Usia Emas atau Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor.

“Permohonan hendaklah dibuat dengan hadir secara terus ke pusat khidmat masyarakat DUN Kampung Tunku pada Isnin hingga Rabu dari jam 10 pagi hingga 4 petang sepanjang 1 hingga 29 Mac,” katanya.

Ditemui selepas merasmikan wajah baharu Taman SS 2/32 di sini hari ini, Yi Wei berkata pemohon perlu membawa dokumen seperti salinan kad pengenalan, salinan slip gaji atau akuan pendapatan bagi memohon baucar berkenaan.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kadar baucar Jom Shopping Perayaan dinaikkan daripada RM100 kepada RM200 setiap keluarga.

Secara keseluruhan, Kerajaan Negeri menganggarkan 82,400 penerima bagi program ini dengan peruntukan sebanyak RM16.48 juta.


Pengarang :