BUDAYARENCANA

Watak yang terperangkap

Oleh: Aliaa Alina

(1)

Kau dihidupkan untuk menjadi simbol ketaatan seorang pahlawan terbilang kepada sultan. Ditemani cahaya pelita, di dalam sebuah khutub khanah kayu, maka kau pun dibangkitkan dari dakwat hitam.

***

Kau adalah Tun Teja. Kau dilahirkan dalam sebuah keluarga Bendahara. Kau memiliki kejelitaan yang tiada tolok bandingnya. Sejak kecil lagi, kau telah ditunangkan dengan seorang lelaki yang berketurunan diraja.

Tak nak, tak nak. Aku tak mahu kahwin dengan dia.

Apabila kau mendewasa, kau jatuh cinta dengan seorang pahlawan dari Melaka. Namanya Hang Tuah. Dia pemilik keris Taming Sari dan keperkasaannya menjadi bualan rakyat jelata. Wajahnya kacak dan matanya bersinar seperti bintang di langit malam. Kerana cintamu, kau memutuskan pertunangan dan melarikan diri ke Melaka tanpa restu Ayahanda.

Rasa macam tak sedap hati pula…

Sebaik sahaja sampai di pelabuhan Melaka, dia memujuk kau untuk mengunyah sirih jampi. Dia mahu perasaan kau terhadapnya terhapus. Sekumpulan hulubalang datang menyambutmu dengan tandu. Dadamu berdebar-debar. Akhirnya dia membuka rahsia bahawa kau sebenarnya bakal dihadiahkan kepada Sultan Melaka sebagai seorang isteri.

Celaka betul. Hidupkan aku semula di dalam dunia lain

(2)

Watak kau melambangkan kesucian dan juga keinginan seorang wanita untuk membebaskan dirinya. Kau adalah sebuah tragedi, kau menjadi simbol agung untuk cinta yang tidak kesampaian. Diinspirasikan daripada kisah pahlawan meja bulat Raja Arthur, kau pun dihidupkan dalam baris-baris stanza.

***

Watakmu tidak bernama. Kau sekadar dikenali sebagai Cik Puan dari Shalott. Kau berada di dalam sebuah bilik terletak di menara kastil batu. Tubuhmu memakai baju kirtle berwarna putih dan ada sebentuk tiara di kepalamu. Rambutmu panjang mengurai berwarna jingga kemerahan. Wajahmu berbintik-bintik di pipi dan hidung. Kau kelihatan polos keanak-anakan.

Urghh…

Di dalam bilik itu hanya ada sebuah tingkap. Dan sebuah cermin besar bertentangan dengan tingkap itu. Kau disumpah tidak boleh melihat secara langsung ke dunia luar. Kau harus memandang dunia melalui cermin besar itu seumur hidupmu. Jika melanggar sumpah, kau akan mati serta-merta.

Mengarut punya storyline!

Ada hari yang ditakdirkan, kau terpandang Sir Lancelot, pahlawan Raja Arthur di cermin itu. Dia bertubuh sasa berbaju besi dan menunggang kuda melalui jalan di hadapan kastilmu. Kau terus jatuh cinta pandang pertama. Tanpa disengajakan, kau memandang ke luar tingkap lantas mengingkari sumpahan maut.
Kau menyesali kesilapan itu lantas membawa diri ke sungai. Kau berbaring di dalam sebuah sampan dan membiarkan…

Sudah! Aku mahu hidup dalam latar cerita yang lebih moden

(3)

Watak kau dicipta oleh seorang penulis yang pemalu dan sepi. Kau adalah sebuah impian dan nafsu yang dicurahkan dalam bait-bait kata. Kau merupakan keinginan yang datang dari lubuk hati yang paling dalam.

***

Namamu Aulia Medina, seorang gadis pemalu dan berwajah manis. Kau dibesarkan dalam keluarga yang miskin dan disfungsi. Kau tinggal bersama ibu tiri yang jahat dan bapa kandung yang lemah. Kau bekerja sebagai pembantu jualan yang sering ditindas di pasar raya.

Tragik sungguh kisah ini

Ada seorang pelanggan lelaki kacak yang biadab dan sering mengherdikmu di kaunter bayaran. Kau mengenalinya sebagai Tengku Rayyan, seorang kerabat yang kaya-raya dan mempunyai syarikat. Kau membencinya tapi diam-diam, kau ada menaruh perasaan kepadanya.

Siapa nak lelaki berlagak macam tu?

Di suatu malam yang sepi, kau berjalan kaki melalui lorong gelap. Mulutmu ditekup kain dan tubuhmu dipeluk seseorang. Kau terus pengsan dan sedar-sedar sahaja, kau terjaga di atas katil dalam keadaan bertelanjang. Seorang lelaki bogel duduk di sebelahmu dan dia adalah Tengku Rayyan.

Kurang ajar punya lelaki. Aku akan bunuh dia!

Dia mengaku sudah merogolmu dalam keadaan mabuk. Dia berjanji akan bertanggungjawab dan terus mengajakmu berkahwin.

Takkan aku kena kahwin dengan perogol?

Kau menangis teresak-esak. Setelah bertenang, kau pun bersetuju dengan cadangan itu. Katamu, jika tiga bulan berlalu dan kau didapati tidak mengandung, dia harus berjanji untuk menceraikan kau. Dia bersetuju dan kamu berdua pun dikahwinkan dalam majlis kecil di rumah banglo. Seorang perempuan seksi berdada besar datang membuat kacau sewaktu akad nikah. Dia mengaku sebagai tunang sebenar Tengku Rayyan. Kau dimaki sebagai perempuan kampung yang miskin. Kau pun menangis kerana merasa terhina.
Bodoh punya cerita. Matikan watak aku sekarang juga

(4)

Arus pemikiran feminis memuncak sewaktu watak kau diciptakan. Kau ditulis untuk menginspirasikan dan menimbulkan keberanian pada hati yang membacamu. Kaulah watak yang ingin menentang norma-norma yang menindas.

***

Kau diberi nama sebagai Norly. Kau dibesarkan oleh seorang ibu tunggal, seorang pesawah yang cekal. Kau mempunyai seorang adik lelaki yang lemah. Semenjak kecil, kau melindungi keluargamu daripada adik-beradik arwah bapa yang suka berebut harta. Kau sedikit kejantanan, lasak dan tegas. Kau belajar silat demi mempertahankan adikmu yang sering dibuli budak nakal.

Ya! Aku suka cerita ini

Kau pelajar bijak yang disayangi guru. Kau bercita-cita mahu menjadi seorang doktor dan mengubah nasib keluargamu. Kau sering bersaing dengan seorang budak lelaki yang pandai di dalam kelasmu. Dia seorang yang cute tetapi kau sering berselisih faham dengannya.

Okey…

Tiba-tiba seorang pelajar baru berpindah masuk ke dalam kelasmu. Dia juga budak lelaki yang bijak dan sekarang ini, kau mempunyai dua pesaing. Diam-diam, mereka sebenarnya menyukai kau.

Eww, klise

Kau mempermainkan perasaan mereka berdua. Kau mahu mereka hanyut supaya gagal dalam peperiksaan. Namun, kau mulai terperangkap apabila kau terjatuh cinta pada mereka berdua.

Aku tak suka plot cinta tiga segi

Baiklah, baiklah. Kau menolak cinta mereka. Sebaliknya, kau berusaha keras sehingga mendapat biasiswa tajaan syarikat Nasa. Inilah peluang kau untuk menjadi seorang angkasawan.

Eh, bukan watak aku sepatutnya jadi doktor ke?

[padam] Kau mendapat 10A dalam SPM lantas ditaja oleh JPA untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading. Kau berdikari, belajar bersungguh-sungguh dan akhirnya berjaya menempatkan diri di universiti di Dublin, Ireland.

Siapa jaga mak dengan adik lelaki aku?

Mereka dijaga oleh Pak Cik Salleh, seorang lelaki tua yang baik.

Siapa pula Pak Cik Salleh ni?

Dia merupakan dua pupu, bukan, tiga pupu mak kau. Dia berjanggut, berserban dan…

Kenapa dia kena berserban? Dia tu imam kampung ke?
Bukan, bukan. Dia penoreh getah…

Mana ada kebun getah. Latar tempat di kampung yang dikelilingi bendang
Alamak. Salah, salah. [padam]

***

[Nota pengarang: Watak ini menjadi hidup dan sering mempersoalkan jalan cerita ini. Dia sering bertelagah di dalam kepala dan enggan bertolak ansur dengan nilai perwatakan yang telah diberikan. Cerita tidak dapat diteruskan.]

 


Pengarang :