Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Dato’ Haris Kassim(berdiri, kanan) bersama Ahli Lembaga Pengarah Worldwide Holdings Berhad Datuk Azmi Mohd Ali menyaksikan perjanjian persefahaman Worldwide Holdings bersama beberapa syarikat bagi menjayakan pembangunan projek tenaga solar di Selangor di Glenmarie Hotel and Golf Resort, Shah Alam pada 12 Mac 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/ SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Worldwide Holdings meterai empat MoU jaya pembangunan projek tenaga solar di Selangor

SHAH ALAM, 14 MAC: Worldwide Holdings Berhad (Worldwide Holdings) memeterai empat Memorandum Persefahaman (MoU) bersama beberapa syarikat untuk menjalin kerjasama dalam pembangunan projek tenaga solar di Selangor, semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Datin Norazlina Zakaria berkata pemeteraian MoU itu dijangka dapat mempromosi penggunaan tenaga pintar dan tenaga boleh diperbaharui di Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Worldwide Holdings Berhad Datin Paduka Norazlina Zakaria. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/ SELANGORKINI

“Menerusi MoU ini ia akan membangunkan penyelesaian inovatif yang memacu perkembangan sektor tenaga boleh diperbaharui,” katanya selepas majlis berkenaan di Glenmarie Hotel and Golf Resort di sini.

Majlis pemeteraian MoU berkenaan disaksikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Dato’ Haris Kasim.

Dua MoU ditandatangani Worldwide Holdings dengan Cyberview Sdn Bhd, Kumpulan Perangsang Selangor, Global Energy Storage Malaysia dan PKNS Real Estate Sdn Bhd membabitkan pembangunan loji janakuasa bebas yang bakal menjana tenaga daripada ladang solar terapung di tasik Cyberjaya.

Selain itu turut ditandatangani adalah MoU berkaitan pemasangan panel PV solar di bangunan kerajaan dan kediaman di Selangor untuk pembangunan pelaburan tenaga solar bagi kegunaan sendiri yang ditandatangani Worldwide Holdings dan PKNS Real Estate Sdn Bhd.

MoU bagi pembangunan pelaburan tenaga solar Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) serta perjanjian pajakan bumbung ditandatangani Worldwide Holdings bersama Laman Seri Business Park Management Body.

Menurut Norazlina pembangunan projek loji janakuasa bebas bakal menjana tenaga daripada ladang solar terapung di tasik Cyberjaya adalah di bawah Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP) dengan kos kira-kira RM100 juta.

“Dengan pembangunan lestari dan tenaga bersih sebagai terasnya pelaksanaan projek ini dijangka dapat meningkatkan keupayaan tenaga di Cyberjaya menerusi tenaga hijau.

“Pemeteraian MoU dengan kesemua syarikat itu adalah bukti kemampuan Worldwide Holdings untuk menerajui projek infrastruktur tenaga yang lebih besar terutama dalam mempromosikan tenaga boleh baharu,” katanya.


Pengarang :