Acara senam aerobik ketika program Jelajah Selangor Penyayang di Padang Taman Kosas, Ampang pada 19 Jun 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Zumba tema batik, pelekat acara menarik di jelajah bantuan Hulu Langat

SHAH ALAM, 2 MAC: Zumba bertemakan kain batik dan pelekat antara acara menarik menanti pengunjung Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP) di Hulu Langat Sabtu ini.

Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) memaklumkan program mulai 9 pagi hingga 5 petang itu diadakan di Padang KRT, Taman Impian Ehsan.

Acara seni mempertahankan diri daripada semua bangsa dan tarian naga turut diadakan selain pelbagai pengisian program Iltizam Selangor Penyayang (ISP).

“Hari Sabtu ini, JKSP akan berada di Hulu Langat untuk bertemu warga Selangor di sana. Jangan lepaskan peluang untuk mengetahui dasar dan inisiatif Kerajaan Negeri,” katanya.

JKSP yang membuka tirainya di Klang dan Hulu Selangor pada bulan lalu menjadi pendekatan Kerajaan Negeri untuk menghebahkan 44 program ISP kepada rakyat.

Program ISP disusun semula daripada Inisiatif Peduli Rakyat menerusi peruntukan RM600 juta supaya lebih ramai penduduk memperoleh manfaat disediakan Kerajaan Negeri.

Pakej bantuan rakyat itu menggariskan enam inisiatif iaitu Iltizam Pemberdayaan Rakyat Selangor, Iltizam Kesihatan Selangor, Iltizam Pendidikan Selangor, Iltizam Perumahan Selangor, Iltizam Keusahawanan Selangor dan Iltizam Mesra Anak Selangor.


Pengarang :